Memberikan elaun kepada anak-anak anda adalah peluang untuk mereka belajar menguruskan wang sendiri untuk masa depan. Ketahui beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mula memberikan elaun dan wang belanja bagi anak anda. 

Apabila mengajar anak tentang membuat bajet, menyimpan dan menguruskan kewangan, langkah pertama yang boleh dipraktikkan adalah dengan memberikan elaun. Ke mana duit mereka pergi dan disimpan, apakah yang menjadi kepentingan adalah perkara yang melambangkan anda sebagai satu keluarga. Ia adalah peluang untuk melatih anak-anak menjadi lebih sabar, bersyukur dan bermurah hati dengan sesiapa sahaja yang mereka inginkan.

Menurut Profesor Emeritus Ekonomi Keluarga dari Universiti of Minnesota Twin Cities, Sharon M. Danes, bermula dengan lebih awal adalah tindakan yang paling baik. Kanak-kanak akan lebih bersedia untuk menguruskan elaun mereka apabila sudah boleh mengira dan sedar nilai setiap barangan yang diberikan oleh ibu bapa. Kebiasaannya adalah pada umur 5 hingga 8 tahun.

Langkah 1: Tentukan jumlah elaun

Mulakan dengan jumlah yang kecil seperti RM1 setiap hari, dan RM5 untuk setiap minggu. Anda boleh mengolah jumlah yang diberikan bergantung kepada kemampuan dan juga apabila mereka sudah memulakan alam persekolahan yang sudah tentu memerlukan jumlah yang lebih untuk belanja makanan dan alat tulis serta buku sekolah.

Langkah 2: Tetapkan peraturan

Pastikan elaun yang diberikan bukan sekadar ‘pemberian kosong’ semata-mata tetapi dengan nilai yang ingin diterapkan seperti menyimpan dan berbelanja dengan berhemah.

Kebanyakan ibu bapa mengaitkan pemberian elaun dengan kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Secara mudahnya, anda perlu bekerja untuk mendapatkan duit. Ia boleh melatih sifat bertanggungjawab dalam diri mereka.

Walaupun kaedah ini sering digunakan oleh kebanyakkan ibu bapa untuk memberikan ruang kepada anak-anak membuat kerja rumah, ia turut memberikan mesej bahawa mereka perlu dibayar untuk setiap tugasan di rumah walaupun sekadar mengemas katil selepas bangun daripada tidur. Anda juga perlu memeriksa sama ada tugasan yang diberikan sudah dibuat atau tidak – atau apabila mereka memberontak untuk tidak melakukan kerja rumah walaupun mendapat upah. Idea yang lebih baik adalah dengan memberikan elaun secara mingguan dan menawarkan wang tambahan untuk tugas tambahan seperti mencabut lalang di halaman rumah atau mengemas bekas makanan di dapur, yang boleh dilakukan oleh anak kecil dengan mudah.

Langkah 3: Tetapkan syarat-syarat tertentu

Menetapkan syarat-syarat tertentu bagi pemberian elaun kepada anak-anak membantu mereka untuk mempunyai jangkaan realistik dan berkala. Masukkan sekali jumlah elaun dan berapa hari dalam seminggu mereka akan dibayar. Kemudian, tetapkan peratus yang mereka boleh belanjakan, simpan dan derma. Disarankan untuk membahagikan 80% bagi belanja, derma 10% dan 10% untuk simpanan jika kamu mahu mengajar apakah yang boleh dibeli dengan wang dan apa yang tidak boleh dibeli dengan mudah.

Untuk menerangkan apa yang perlu dibayar sendiri, boleh gunakan skrip seperti berikut “ kami (atau saya) akan membelikan barangan yang kamu mahukan seperti makanan atau barangan kelengkapan sekolah dan juga hadiah sempena hari jadi namun elaun kamu adalah untuk kamu belanjakan bagi barangan yang kami tidak belikan”

Ibu bapa digalakkan untuk menggunakan wang tunai. Kebanyakkan kanak-kanak belajar melalui visual dan gemar melihat wang mereka bertambah melalui tabung dan menggunakkanya untuk membeli barang yang diinginkan.

Langkah 4: Terapkan asas pengurusan kewangan

Elaun yang diberikan boleh menjadi topik perbualan tentang membuat perancangan kewangan dan nilai wang itu sendiri.

Galakkan perkongsian

Berikan peluang untuk anak anda memilih dengan siapa mereka mahu berkongsi barangan mereka melalui bekas ‘derma’ dan ‘berkongsi’ di rumah untuk menerapkan konsep pemurah dan prihatin dengan orang di sekeliling mereka.

Tekankan kepentingan menyimpan

Kanak-kanak masih naif dan tidak dapat membayangkan masa depan mereka untuk setahun atau dua tahun akan datang, jadi anda boleh membantu mereka memilih sasaran yang ingin dicapai dalam jangka masa tersebut. Alat mainan adalah pilihan yang baik, tetapi anda juga boleh menggalakkan mereka untuk menyimpan bagi mendapatkan pengalaman (seperti tiket untuk bertemu watak kegemaran atau melawat zoo). Menyimpan untuk pengalaman mampu memberikan kegembiraan yang lebih bermakna.

Bantu mereka untuk berbelanja dengan bijak

Amat penting untuk memberikan peluang kepada anak anda memilih barangan yang mahu dibelikan menggunakan duit tersebut, walaupun ia kelihatan tidak bermakna. Jika kad Pokemon mampu membuatkan mereka gembira, itu adalah perkara yang baik dan jika tidak, mereka akan belajar daripada pengalaman tersebut.

Kesimpulan

Pendidikan kewangan yang bermula dari usia muda mampu menerapkan sifat menghargai nilai wang yang diterima dan boleh melatih mereka untuk membelanjakannya dengan berhemah. Dengan pemberian elaun, mereka akan mendapat pendedahan awal tentang bagaimana wang digunakan dan apakah yang perlu dilakukan untuk memperolehnya. Tidak mustahil mereka akan membesar sebagai individu yang lebih bijak dan cakna dalam pengurusan kewangan.

Pada usia berapakah anda mula memberikan wang belanja untuk anak anda?

You May Also Like