Artikel ini untuk para usahawan Malaysia yang ingin memulakan bisnes pertama mereka dan ingin mendapatkan sumber pembiayaan. Mula meniaga tentunya tidak mudah dan memerlukan kudrat usaha.

Cabaran dalam perniagaan termasuk proses pendaftaran perniagaan hinggalah kepada dapatkan pembiayaan/dana. (Original article in English)

Trend startup semakin popular dan menjadikan keusahawanan sebagai sebuah peluang baru era ini. Mungkin kita masih tidak sampai tahap di mana usahawan teknologi menjadi seorang figura penting negara tetapi syarikat startup semakin banyak yang muncul di Malaysia dengan menawarkan servis/solusi ke atas sesuatu masalah – secara langsung menjana pembiayaan bernilai jutaan Ringgit.

Asasnya mudah sahaja. Apabila sesuatu idea yang tidak pernah diteroka dikemukakan dalam pasaran, pendapatan yang dijana bergantung kepada nilai yang diberi. Ada demografik yang sanggup bayar untuk solusi/servis tertentu (seperti Grabfood, Lalamove). Sebab ini jugalah mengapa pelabur dan institusi kewangan berminat untuk mengambil bahagian dalam kenaikan syarikat startup.

Tak semuanya indah. Ada masanya apabila “usahawan”, “startup” dan “unicorn” digunakan dengan meluas sehingga ramai yang lupa perjalanan ini berliku dan dipenui dengan kegagalan. Tambah-tambah apabila sesebuah syarikat memerlukan modal.

Sistem pembiayaan di Malaysia mempunyai rangkaian yang luas seperti program incubator, pelabur individu dan institusi dalam industri ini. Usahawan Malaysia mempunyai pelbagai pilihan dalam pembiayaan berbanding negara-negara jiran.

Berikut merupakan beberapa pilihan untuk sumber pembiayaan startup di Malaysia:

#1. Rakan dan Keluarga

Cara ini paling mudah dan kerap digunakan oleh pengasas startup yang mendapat pembiayaan berdasarkan kepercayaan keluarga dan rakan. Pembiayaan sebegini lebih fleksibel berbanding pilihan lain kerana pelabur lain mungkin akan terlibat dalam perniagaan. Untuk pinjaman pula, anda akan dikenakan syarat yang ketat.

Rakan dan keluarga lebih memahami akan keadaan perniagaan anda. Anda boleh tetapkan perjanjian untuk pembayaran balik modal berserta untung atau pembahagian untung berdasarkan jualan. Kebanyakan perniaagan keluarga mula dengan cara ini. Contohnya apabila seorang bapa membiayai perjalanan perniagaan anaknya. Banyak syarikat besar mula begini.

Apabila perniagaan berkembang, anda ingin meneroka jenis pembiayaan lain pula tetapi cara ini sesuai jika anda masih baru dan ingin meletakkan idea anda di pasaran. Cara ini juga mempunyai risiko yang lebih sedikit berbanding pinjaman bank.

Namun, anda juga perlu professional dalam merangka pelan perniagaan anda. Ketahui berapa yang anda perlukan, perancangan pulangan dan bagaimana wang ini akan digunakan. Rangka strategi menyeluruh dalam penggunaan modal anda dan senaraikan kos untuk pemasaran, operasi dan pembuatan. Akhir sekali, letakkan tempoh penggunaan modal ini dan bila anda dijangka akan mendapat pulangan atau keuntungan.

#2. Program Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)

Sektor swasta di Malaysia mempunyai senarai peluang pembiayaan yang panjang dalam bentuk program PKS yang ditawarkan institusi bertauliah.

Program Pemacu Perniagaan SME Bank adalah salah satu daripadanya yang ditawarkan oleh SME Bank dan disasarkan untuk startup yang memerlukan modal. Jumlah minimum adalah RM50,000 dan maksimum RM1 juta. Ianya boleh digunakan untuk kos operasi atau pembelian aset. Tempoh pinjaman pula bergantung dan bermula daripada 7 hingga 10 tahun.

Program lain pula adalah BSN Microplus yangditawarkan oleh Bank Simpanan Nasional. Seperti nama tertera, program ini disasarkan kepada perniagaan kecil dan sederhana serta sesuai untuk syarikat yang fokus terhadap servis, peruncitan, pembekal dan pembuatan. BSN Microplus menawarkan daripada RM50,000 hingga RM250,000 dan tempoh pinjaman selama 1 hingga 7 tahun.

 

#3. Geran Kerajaan

Sebelum kita sentuh pilihan pinjaman konvensional, kita perlu lihat pilihan yang ditawarkan oleh kerajaan dahulu. Ada geran ini yang tidak memerlukan pembayaran semula. Namun, syarat yang dikenakan berbeza mengikut jenis geran. Geran ini disasarkan untuk syarikat yang mampu membantu komuniti.

Sebagai contoh, Agensi Tekun Nasional (TEKUN) menawarkan skim pembiayaan yang fokus terhadap sektor tertentu. Ianya diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara sasaran program kementerian ini termasuklah:

  • Memberi bantuan terhadap perniagaan
  • Menaikkan taraf hidup komuniti usahawan dengan perkembangan progresif
  • Menanam minat terhadap keusahawanan dalam negara
  • Memberikan fasiliti pinjaman mikro untuk mulakan perniagaan

Badan yang lain yang menawarkan pembiayaan adalah Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) yang membantu ekonomi digital Malaysia. Dana Konten Digital dibiayai oleh kerajaan dan direka untuk membantu agensi kreatif di Malaysia dan fokus terhadap konten digital, animasi dan pembuatan video game.

Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pula adalah badan yang fokus terhadap komersialisasi perniagaan berasaskan teknologi atau integrasi teknologi dalam perniagaan di Malaysia. Mereka menawarkan Dana Pemilikan Teknologi atau Technology Acquisition Fund (TAD) yang memberi pembiayaan terhadap syarikat tempatan yang ingin mendapatkan akses terhadap teknologi dari luar negara. Selain itu, mereka juga menawarkan skim seperti Business Startup Fund (BSF) dan Business Growth Fund (BGF).

Akhir sekali, tak lain tak bukan nama Cradle Fund Sdn Bhd yang setakat ini sudah membantu hampir 1000 syarikat startup di Malaysia dalam pelbagai sektor. Mereka menawarkan program khas untuk perniagaan seperti program Accelerate yang fokus terhadap komersialisasi teknologi deep tech. Coach and Grow pula adalah program yang memberi bimbingan usahawan. Angel Tax Incentive adalah program yang membantu pelaburan awal dalam perniagaan dengan menawarkan insentif cukai terhadap pelabur yang mengambil bahagian.

#4. Pinjaman Konvensional

Pinjaman konvensional adalah cara paling popular dalam mendapatkan pembiayaan perniagaan. Perbezaan antara pinjaman konvensional dan geran kerajaan adalah anda perlu membayar balik pinjaman ini.

Terdapat banyak pilihan dalam pinjaman konvensional yang fokus terhadap sektor berlainan manakala untuk geran, pilihan anda lebih tetap.

Contohnya seperti Young Entrepreneurship Fund yang ditawarkan oleh SME Bank dan fokus terhadap pembiayaan modal untuk syarikat baru. Pinjaman ini boleh mencecah sehingga RM100,000 dan kadar faedah sebanyak 5%.

Graduate Entrepreneur Fund lebih kurang sama tetapi lebih besar jumlahnya iaitu dengan saiz pinjaman mencecah RM500,000 dan kadar faedah sebanyak 4%.

#5. Crowdfunding dan Pinjaman P2P

Alternatif terbaru dalam pembiayaan perniagaan adalah crowdfunding dan pinjaman P2P (Peer-to-Peer). Ini merupakan pendekatan terbaru yang lebih “mengutamakan komuniti”. Pembiayaan dengan cara ini lebih melibatkan orang ramai dan pelabur am berbanding dapatkan pinjaman bank atau cari pelabur.

Crowdfunding adalah proses menawarkan idea anda kepada pihak awam dengan harapan bahawa pembiayaan dapat dibuat dengan dana daripada orang ramai. Terdapat banyak platform di Malaysia yang menawarkan pilihan ini.

PitchIn, platform crowdfunding Malaysia adalah contoh yang sesuai. Ia mempunyai reputasi dalam menjadi hos terhadap projek yang ingin mendapatkan pembiayaan dan juga masih memegang rekod jumlah pelabur terbanyak dalam sebuah projek.

Contoh lain adalah MyStartr, platform crowdfunding yang fokus terhadap projek kreatif seperti permainan, seni, rekabentuk, muzik malah perfileman. Anda boleh teroka pilihan yang sesuai dengan sektor anda.

#6. Pembiayaan daripada Kumpulan Pelabur (“Venture Capitalist“)

Venture capitalist, yang juga dikenali sebagai pelabur ekuiti persendirian, adalah badan yang memberi modal khas untuk syarikat yang mempunyai potensi untuk berkembang dengan pantas. Terdapat proses dan perjanjian khas yang akan dibuat kerana pelabur akan melabur untuk mendapatkan pemilikan dalam syarikat anda.

Ini bermakna mereka akan menjadi rakan kongsi anda dan akan membimbing berdasaarkan objektif yang telah dipersetujui. Syarikat kecil dengan idea besar lebih sesuai untuk mendapatkan pembiayaan daripada venture capitalist.

Anda juga perlu pastikan perjanjian yang dibuat sesuai dengan anda kerana pelabur ini akan menguruskan sebahagian daripada operasi perniagaan anda juga. Jika anda tidak kisah melepaskah sebahagian pemilikan anda untuk berkembang lebih pantas, ini adalah cara pembiayaan untuk anda.

#7. Pembiayaan daripada Pelabur Individu (“Angel Investors“)

Selain venture capitalist, anda juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pelabur yang dikenali sebagai angel investor – walaupun secara asasnya, mereka lebih kurang sama.

Angel investor adalah pelabur yang terdiri daripada individu bernilai tinggi yang menyokong perniagaan dengan modal yang mereka perlukan dan memberikan pertolongan dalam operasi awal perniagaan di mana mungkin produk masih tidak siap atau dalam pembangunan.

Kadangkala, mereka akan mendapatkan ekuiti/saham daripada syarikat anda atau memberikan anda suatu bentuk pinjaman. Ada juga yang mempunyai syarat pembayaran balik yang fleksibel jadi jika anda jumpa angel investor untuk pembiayaan syarikat anda, anda sememangnya bertuah.

Rumusan

Tak semua pilihan ini sesuai untuk perniagaan anda. Jadi, penting untuk anda ketahui semua bentuk pilihan ini dan senaraikan baik buruk jenis pembiayaan ini bergantung kepada jenis perniagaan yang anda jalankan.

 

Apa lagi pilihan pembiayaan yang anda ketahui? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.

 

You May Also Like