Jumlah kes Covid-19 yang tidak menentu pada masa ini telah memberikan kerisauan kepada rakyat Malaysia, terutamanya terhadap mereka yang terjejas kewangannya. Apakah yang anda boleh lakukan untuk menguruskan risiko kewangan pada norma baharu? (Original article in English)

Kes Covid-19 menunjukkan jumlah yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini dan telah mencapai melebihi 20,000 kes sehari. Walaupun kadar vaksinasi sudah hampir mencapai angka yang diinginkan namun kita harus belajar untuk hidup dalam norma baharu. Bagaimanakah anda mahu menguruskan risiko kewangan diri dalam norma baharu?

Menguruskan risiko peribadi bermakna bersedia untuk segala kemungkinan yang akan berlaku. Ia juga bermaksud memastikan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, waris atau keluarga anda tidak terjejas dan kebajikan mereka terpelihara.

Berikut merupakan 6 tip untuk menguruskan risiko kewangan dalam norma baharu.

#1. Mempunyai Simpanan Kecemasan yang Mencukupi

Disebabkan pandemik, ekonomi negara mengalami impak yang teruk dan tidak hairanlah peratusan dibuang kerja semakin meningkat. Banyak perniagaan yang sukar bertahan dan perlu membuat pemotongan gaji pekerja, membuang pekerja atau lebih teruk lagi, menutupnya untuk selama-lamanya. Daripada sudut positif, perniagaan kini cepat untuk menyesuaikan diri mereka ke arah digital, namun mungkin menyebabkan pembuangan kerja kerana kerja sudah diambil alih dengan teknologi.

Waktu yang sukar seperti ini mengajar kepentingan untuk mempunyai simpanan kecemasan selama 6-12 bulan. Simpanan ini berfungsi sebagai tunai yang membantu untuk menghadapi masa yang sukar apabila sumber pendapatan terjejas.

#2. Cari Kemahiran Baru atau Tambah Kemahiran untuk Kekal Relevan

Dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat, pasaran kerja juga menjadi lebih sukar dan tidak menentu. Lambakan tenaga kerja meningkat apabila lebih ramai mula mencari pekerjaan. Oleh sebab itu, amat penting untuk memastikan kemahiran anda tidak terhad dan kekal relevan dengan kehendak majikan.

Terdapat pelbagai kursus percuma dan berbayar yang boleh diikuti secara dalam talian. Antaranya di laman web seperti Linkedin LearningSkillshareUdemy, dan Coursera. Ia menyediakan platform yang sesuai untuk menambah dan mengemaskan kemahiran sedia ada.

Selain itu, Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menyediakan latihan vokasional untuk mereka yang layak, termasuklah yang terjejas dengan pembuangan kerja. Kos latihan adalah percuma dan anda juga akan menerima elaun latihan.

Ia memberikan peluang untuk anda menjadi lebih fleksibel dan boleh melakukan pelbagai kerja dengan kemahiran yang relevan.

#3. Mengurangkan Risiko Untuk Dijangkiti

Virus Covid-19 tidak memilih siapa yang ingin dijangkiti. Walaupun anda mungkin tidak berisiko, namun amat penting untuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mengelakkan dijangkiti Covid-19 dan memastikan diri tidak menjadi pembawa virus dan menjangkiti mereka yang lebih berisiko.

Amalkan gaya hidup sihat; seperti gaya pemakanan yang seimbang dan bersenam untuk menguatkan sistem imun tubuh.Namun, tidak dinafikan amat mudah untuk memilih gaya hidup yang kurang sihat terutamanya apabila bekerja dari rumah dan tidak perlu bergerak untuk ke tempat kerja.

Selain itu, amat penting juga untuk divaksinasi bagi mengelakkan daripada dijangkiti Covid-19 dan mengurangkan penyebaran virus. Kini anda boleh pergi ke mana-mana pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan dos pertama.

Melalui vaksinasi, anda menjalankan peranan untuk membantu mengurangkan penyebaran virus dan membolehkan ekonomi kembali normal sekaligus mengurangkan kadar pengganguran. Apabila imuniti kelompok dapat dicapai, rakyat akan lebih yakin untuk keluar dan berbelanja untuk ekonomi tempatan.

#4. Bersedia Untuk Sebarang Perkara Tidak Diingini

Walaupun kita sudah mencuba sehabis baik, namun anda masih boleh terdedah kepada pelbagai risiko, dan bukan sahaja Covid-19. Walaupun kematian tidak boleh dielakkan, namun kecacatan kekal dan penyakit adalah sesuatu yang anda akan terdedah dari masa ke masa. Anda perlu bersedia untuk kejadian sebegini bagi memastikan keluarga tida terjejas dan terbeban dengan hutang.

Ia adalah kemungkinan yang menakutkan tetapi jika difikirkan, jika tidak bersedia, ia akan menjadi lebih buruk. Jadi, bagaimana anda boleh bermula?

Fikirkan tentang bagaimana anda mahu wang anda diuruskan semasa situasi sebegini berlaku. Misalnya, jika kematian berlaku, bagaimana anda mahu menyelesaikan hutang dan memastikan ahli keluarga terpelihara? Lebih-lebih lagi jika mempunyai ibu bapa atau anak-anak dengan keperluan istimewa yang memerlukan perhatian yang lebih. Untuk kecacatan dan penyakit, adakah insuran diri cukup, atau lebih murah untuk mengambil pelan insuran sendiri?

Beberapa perkara diperlukan untuk membantu waris serta ahli keluarga boleh menyara diri jika anda berada dalam situasi kecacatan, tidak berdaya atau mati. Misalnya, menyediakan wasiat dengan lebih awal, mengemaskan data kewangan dan peribadi supaya lebih mudah untuk waris menggunakannya bagi tujuan akan datang. Pengurusan hutang yang baik amat penting untuk melancarkan proses semasa perkara tidak diingini berlaku.

#5. Ambil Insentif yang Disediakan oleh Kerajaan

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, terdapat pelbagai bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan merancakkan semula ekonomi negara.

Walaupun bantuan insentif banyak disediakan untuk golongan yang terjejas dan bergaji harian, terdapat juga insentif yang boleh diambil secara pilihan seperi EPF i-Sinar dan juga moratorium pinjaman.

Jadi, siapa yang perlu mengambil insentif kewangan ini? Mereka yang tidak mempunyai simpanan kecemasan, pemotongan gaji atau dibuang kerja, hutang dengan kadar faedah yang †inggi seperti kad kredit dan pinjaman peribadi, mereka yang berisiko untuk dibuang kerja atau yang mempunyai aliran kewangan negatif.

Ambil insentif ini sebagai peluang untuk bermula semula dan mengubah situasi kewangan anda supaya mampu bertahan dengan segala perubahan. Anda juga perlu memahami kesan jika menggunakan insentif ini.

Sistem SIP oleh PERKESO juga menawarkan Elaun Mencari Pekerjaan untuk mereka yang layak dan jika anda layak, anda boleh menerima elaun selama 6 bulan. Elaun ini akan dikurangkan setiap bulan jadi anda tidak boleh sekadar bergantung kepadanya, namun ia akan membantu simpanan kecemasan anda untuk bertahan lama.

#6. Lihat Semula Pelaburan Anda

Perlu atau tidak saya keluarkan hasil pelaburan? adalah antara soalan yang sering saya terima kerana kebanyakkannya gusar tentang keadaan pasaran yang tidak menentu. Jika anda juga menimbangkan perkara yang sama, lihat semula pelaburan anda dan tanya diri soalan-soalan ini:

  • Apakah objektif pelaburan saya untuk instrumen tersebut? 

Objektif pelaburan akan menentukan berapa lama anda perlu berada dalam pasaran. Sasaran jangka masa panjang perlu mempunyai cara untuk menghadapinya. Semasa waktu ini, simpanan kecemasan memainkan peranan yang penting untuk mengelakkan anda menggunakan pelaburan secara tidak terkawal.

  • Adakah saya mampu bertahan dalam situasi pelaburan yang tidak menentu

Jika jawapan anda adalah tidak, anda mungkin mahu bertukar kepada profil berisiko rendah. Bertukar kepada profil risiko rendah tidak bermaksud keluar daripada pasaran. Ia hanyalah untuk mengurangkan impak terhadap pelaburan berisiko tinggi dengan melibatkan diri dalam pelaburan berisiko rendah serta tidak perlu menghadapi ketidaktentuan pasaran.

  • Adakah simpanan kecemasan saya mencukupi?

Adalah penting untuk anda mempunyai simpanan kecemasan sebelum membuat sebarang pelaburan. Namun, setiap orang mempunyai situasi berbeza. Jika anda kehilangan pekerjaan dan hanya bergantung kepada simpanan kecemasan, anda perlu mempunyai rancangan akhir seperti menjual pelaburan setelah simpanan habis sebelum memperoleh kerja baharu. Ia adalah pilihan yang lebih baik dibandingkan dengan bergantung kepada hutang dengan kadar faedah yang tinggi seperti kad kredit.

Dengan suasana kerja dari rumah kini, anda mungkin mempunyai lebihan wang untuk dilaburkan. Jika ini berlaku, memperuntukkan wang untuk simpanan boleh membantu untuk masuk ke dalam pasaran pada masa yang berbeza dan memperoleh faedah daripada kejatuhan pasaran apabila pelaburan untuk dijual.

Kesimpulan

Bersedia untuk menghadapi risiko akan memberikan anda ketenangan fikiran apabila setiap perkara sudah terjamin. Mempunyai situasi kewangan yang kemas sudah tentu membantu diri untuk menghadapi sebarang cabaran. Jika anda tidak pasti bagaimana untuk menguruskan kewangan, dapatkan bantuan profesional. Waktu kini mungkin bukanlah waktu yang paling baik tetapi ia adalah peluang untuk belajar dan mencari peluang baharu.

‘Tough times never last, tough people do.’ – Robert H. Schuller

Apakah yang anda lakukan untuk menguruskan risiko kewangan dalam norma baharu?

You May Also Like