Mengamalkan konsep minimalis boleh membantu memudahkan pengurusan kewangan anda (Original Article in English)

Adakah anda seorang minimalis? Adakah anda mahu menguruskan kewangan dengan lebih baik? Berita baiknya adalah kedua-dua konsep ini sesuai untuk dilakukan bersama.

Konsep minimalis digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk membantu sesiapa sahaja yang mahu mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan mereka – termasuklah aspek kewangan.

Minimalis dalam kewangan mungkin kedengaran mudah, tetapi terdapat beberapa komponen yang perlu diselami dengan lebih mendalam. Ia bukan sekadar menyimpan wang dan mengurangkan perbelanjaan. Ya, ia mungkin menjadi asas terhadap konsep itu, tetapi tindakan yang diambil dan memerlukan usaha dan pemahaman yang tinggi. Mari kita lihat beberapa kunci utama terhadap pendekatan minimalis dan bagaimana ia boleh diaplikasikan terhadap kewangan peribadi.

Apakah Minimalis?

Minimalis (merujuk kepada pendekatan gaya hidup dan bukan merujuk kepada seni atau musik yang berada dalam kategori yang sama) melibatkan hidup dengan sumber yang tidak berlebihan samada dalam bentuk pemilikan harta atau konsep berlebihan dalam hidup anda. Ia adalah keadaan yang mana mengurangkan lebihan tidak diperlukan dan mencari kebahagiaan dalam perkara yang penting sahaja.

Melalui minimalis, kesemua perkara berkaitan pemilikan, aset, kepuasan dan standard sosial akan menjadi persoalan utama.

Anda boleh menemui video, blog dan juga kumpulan di sosial media yang didedikasikan untuk falsafah minimalis ini, dengan melihat pelbagai individu dengan latar belakang berbeza membuang barangan mereka dan mengurangkan barangan yang dirasakan tidak perlu dari rumah. Ia mungkin kelihatan sedikit pelik, namun konsep ini telah memberikan manfaat yang banyak kepada ramai individu sehingga membuatkan ia menjadi semakin popular.

Mengapa Minimalis Semakin Menjadi Pilihan Gaya Hidup

Ahli falsafah Britain, Alain De Botton, menyatakan kehidupan yang biasa sudah tidak memberikan kepuasan seperti sebelumnya – terutamanya dalam dunia yang dipenuhi dengan tekanan luar seperti rakan sekerja, kawan-kawan dan keluarga, atau media dan budaya.

Dalam masyarakat maju dan berkembang kini, kehidupan normal adalah impian generasi dahulu. Perkara ringkas seperti bekalan air bersih, tempat berteduh, bekalan makanan yang cukup dan akses kepada pendidikan, teknologi atau hiburan kini menjadi norma dalam hidup kita. Dan, kita mahukan hidup yang lebih menarik daripada normal. Aspirasi ini adalah sesuatu yang sihat, tetapi corak sosial yang dibina lebih mendorong ke arah keinginan yang melampau sehingga menyebabkan kehilangan jati diri sebenar.

Boleh disimpulkan bahawa minimalis adalah respon terhadap konsep materialistik dan keinginan yang tidak terkawal. Dengan belajar untuk hidup secara sederhana, dan memprogramkan fikiran daripada obsesi terhadap keinginan yang melampau, ia membolehkan kita hidup dengan lebih seimbang dan gembira.

Apa Kaitannya dengan Pengurusan Wang Anda?

Mungkin agak pelik menggunakan konsep minimalis ini untuk kewangan, apabila mempunyai kekayaan dan wang yang lebih kelihatan lebih baik.

Terdapat beberapa salah faham yang perlu dibincangkan dalam isu ini. Pertama, minimalis memfokuskan untuk tidak terlalu berlebihan (bukan lebihan). Ya, terdapat gerakan lain yang menyatakan anda perlu memusnahkan atau membuang semua barangan yang ada seperti pakaian, tetapi kita tidak akan membincangkannya dalam penulisan ini.

Daripada segi kewangan, obsesi yang tidak sihat terhadap kekayaan yang berlebihan boleh mencetuskan pelbagai isu. Anda mungkin akan membuat keputusan yang kurang bijak dalam pelaburan atau meletakkan terlalu banyak wang dalam satu platform sahaja kerana dikaburi oleh janji pulangan yang tinggi. Anda juga mungkin tertipu (ramai yang mahu menipu dengan menjanjikan kekayaan dengan segera)

Mengutamakan kekuatan emosi adalah asas untuk mencapai kewangan yang stabil. Berfikir dengan akal berbanding menggunakan emosi semasa membuat keputusan kewangan yang besar, seperti yang dikatakan oleh Warren Buffett dan pakar kewangan lain. Selain itu, anda juga perlu menjadi lebih teliti dengan sasaran yang diingini dan kenalpasti mengapa anda mahu mencapainya.

#1. Spesifik Dengan Sasaran Kewangan Anda

Apakah nombor yang anda rasakan mencukupi, dan mengapa ia cukup? Lebih fokus dengan sasaran yang diingini, lebih baik. Pakar kewangan, usahawan dan pemimpin mengamalkan fokus dalam hidup mereka. Setiap orang mempunyai impian untuk menjadi jutawan satu hari nanti, tetapi tidak ramai yang mempunyai rancangan yang teliti untuk mencapainya, apatah lagi sebab mengapa ingin menjadi jutawan.

Apabila anda bertanyakan soalan ini, anda akan menyedari bahawa sasaran yang diingini lebih mudah dicapai. 100 juta menjadi lebih spesifik berdasarkan perkara yang anda mahu gunakan.

#2. Rancang Perjalanan untuk Mencapai Destinasi Kewangan Anda

Pada peringkat ini, adalah idea yang baik untuk mengenal pasti cara terbaik bagi mencapai angka yang diingini. Apakah jenis pelaburan yang diperlukan? Pulangan tahunan yang anda inginkan? Berapa banyak perlu disimpan? Berapa banyak yang anda boleh peroleh setiap bulan? Berapa jumlah yang anda tidak perlukan?

Lebih banyak yang anda rancangkan, lebih jelas perjalanan untuk mencapai sasaran kewangan.

#3. Bersedia Untuk Melepaskan

Pendekatan minimalis bergantung kepada apa yang ingin disimpan dan apa yang mahu ditinggalkan samada gaya hidup, aset, perbelanjaan dan tabiat.

Adakah anda pernah mendengar  tentang FIRE (Financial Independence, Retire Early)? Ia memfokuskan bersara lebih awal melalui kebebasan kewangan, dan cara paling relevan untuk mencapainya adalah menukar gaya hidup berdasarkan kuasa pendapatan sehingga anda mencapai tahap di mana simpanan dan pendapatan dapat dimanfaatkan dengan baik.

Ramai tidak sedar bahawa FIRE dan minimalis berkait rapat, walaupun ia tidak popular. Mereka yang mengamalkan FIRE sudah menyesuaikan tahap kehidupan sehingga kelihatan tidak menarik di mata pihak luar. Ramai yang tidak menggunakan kereta, tinggal di rumah yang kecil (tetapi selesa), menanam makanan sendiri, dan mengelakkan barangan yang mewah.

Kebanyakkannya menjadi jutawan, namun mempunyai gaya hidup yang sederhana. Mereka berasa lebih gembira tanpa perlu bermewah-mewah. Mereka juga sudah belajar untuk melepaskan barangan yang tidak perlu bagi mencapai sasaran hidup dan menjadikannya gaya hidup.

Namun, gaya hidup minimalis mungkin kelihatan agak keterlaluan. Tetapi, tidak seperti FIRE, minimalis tidak terlalu cerewet. Apabila anda mengurangkan belanja yang tidak perlu, ia adalah pilihan peribadi. Buat senarai perkara yang anda boleh hidup tanpanya (sedikit sukar jika anda sudah biasa dengannya) dengan mengurangkannya secara berperingkat. Apabila ia menjadi kurang selesa, berikan ruang untuk menyesuaikan diri.

Kesimpulan

Minimalis bukanlah untuk semua orang. Anda mungkin gembira jika mempunyai lebihan atau menggunakan pemikiran untuk mencapai lebihan untuk selamat. Satu perkara yang pasti, adalah realistik untuk menggunakan mana-mana aspek dalam minimalis bagi kewangan peribadi anda. Terdapat banyak elemen minimalis wujud dalam nasihat yang diberikan oleh pakar kewangan dan ia wajar untuk  dipertimbangkan.

Adakah anda mengamalkan minimalis dalam kewangan? Kongsi dengan kami pengalaman anda dalam ruangan komen.

You May Also Like