Berbelanja untuk kebaikan diri sendiri adalah digalakkan selagi ia tidak berlebihan sehingga menganggu perbelanjaan penting yang lain serta simpanan peribadi. Ikuti pengalaman perancang kewangan berlesen WVA, Sharifah Nur Amirah dalam membeli barangan jam kecergasan atau fitness watch.
Jam tangan kecergasan berjenama Garmin Venu 2S yang dibeli oleh Amirah
Bila sebut pasal berbelanja, saya pasti ramai yang sangat mengemari aktiviti ini. Terdapat individu yang menganggap berbelanja adalah salah satu cara untuk melepaskan tekanan sama ada di rumah atau di tempat kerja. Saya juga merupakan golongan yang suka berbelanja sebagai cara untuk meningkatkan semangat dan memberikan penghargaan pada diri sendiri setelah penat bekerja. Namun begitu, ianya bukan dalam kategori pembelian secara impulsif atau tergesa-gesa kerana mengikut emosi.
Memandangkan bulan September adalah bulan kelahiran saya, jadi saya telah membuat keputusan untuk membeli sebuah jam kecergasan atau fitness watch sebagai pelaburan bagi mengekalkan tubuh yang sihat dan cergas, fikiran yang cerdas dan emosi yang stabil. Ia sangat penting bagi memastikan kualiti hidup yang sihat.
Lebih lanjut tentang tabiat berbelanja saya, perkara wajib yang saya lakukan sebelum membuat sebarang pembelian adalah menimbang tara antara kualiti dan nilai yang saya perolehi dengan kos yang bakal di keluarkan. Tambahan pula, sebagai seorang yang agak cerewet untuk memilih bahan dan barangan membuatkan proses pembelian akan mengambil masa yang lama. Oleh sebab itu, kaedah pembelian atas talian kurang mendapat perhatian saya. Selamat tabungan saya!
Contents
Bagaimana Saya Merancang Pembelian
Saya merancang sebelum membuat sebarang pembelian adalah dengan melihat kepada beberapa ciri seperti yang disenaraikan di bawah:-
- Menang membeli alah memakai
Setiap kali berbelanja, saya suka memegang konsep “ Alah membeli, menang memakai”. Hal ini kerana setiap jam mempunyai fungsi praktikaliti yang berbeza. Jadi saya memilih reka bentuk yang boleh disesuaikan untuk pelbagai keadaan dan pada masa yang sama, jam tersebut dapat memberikan data seperti bacaan degupan jantung yang tepat, ketahanan bateri,mesra pengguna, mudah disambungkan ke aplikasi telefon adalah antara ciri-ciri yang saya inginkan sewaktu bersenam. Ia bagi memastikan saya tidak membeli barangan yang sama kegunaannya selagi barang sedia ada masih boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang.
- Ukur baju di badan sendiri
Setelah membuat tinjauan dan research untuk ciri pertama tadi barulah saya meletakkan bajet yang sewajarnya dengan nilai yang diinginkan, sesuai dengan kedudukan kewangan. Bak kata pepatah, “biar papa asal bergaya” harus di buang jauh – jauh.
Penggunaan kemudahan kad kredit dapat memberi kelebihan sekiranya anda mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran lengkap di hujung bulan nanti. Hal ini kerana anda boleh mengumpul mata ganjaran atau memperolehi rebat tunai yang boleh ditukarkan dengan barangan atau baucar pembelian. Namun, ia akan menjadikan aliran tunai anda terganggu sekiranya gagal membuat bayaran penuh. Oleh sebab itu, perlunya membuat satu bajet khusus untuk pembelian yang besar dan anda mampu untuk membayar keseluruhan jumlah yang diperlukan sekiranya mengunakan kemudahan kad kredit.
- Jangan terburu buru
Ambil masa yang diinginkan untuk meneliti sesuatu barangan supaya tidak menyesal di kemudian hari. Elakkan membeli secara tergesa-gesa bagi mengelakkan daripada terbeli barangan yang tidak diperlukan atau kurang sesuai. Hal ini banyak terjadi apabila kita mudah teruja dengan promosi harga murah dan sebagainya.
Bagaimana Saya Menyimpan dan Melabur
Pendapatan bulanan sebagai Perancang Kewangan ini bukan bergaji bulanan dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai tabung persaraan. Maka saya harus memastikan aliran tunai dan keperluan utama terjaga. Dalam masa yang sama, pengurusan jangka masa panjang seperti tabungan persaraan juga harus di buat secara disiplin.
Oleh itu, untuk tabungan jangka masa panjang dan tabungan persaraan, saya lebih gemar menggunakan kemudahan autodebit ke dalam instrumen pilihan saya seperti unit trust dan ETF. Pemilihan instrumen tabungan ini adalah berdasarkan profil risiko pelaburan. Ia bagi memastikan simpanan atau tabungan ini dapat memberikan pulangan yang tinggi dan dalam masa yang sama tidak melupakan aspek risiko.
Selain dari membuat tabungan persaraan dan jangka masa panjang, saya juga membuat satu tabungan jangka masa pendek yang saya panggil sebagai “happy fund”. Tujuan tabungan ini adalah untuk perbelanjaan sekiranya saya ingin membeli sesuatu atau pergi bercuti. Jadi untuk pembelian fitness watch yang saya idamkan, turut menggunakan duit dari tabungan ini. Happy fund ini boleh digunakan juga sebagai persediaan persiapan hari raya, perbaharui cukai jalan dan insurans kereta. Saya pecahkan happy fund ke dalam dua jenis akaun yang memberi kadar pulangan dan risiko yang berbeza.
Namun harus diingat, tabung kecemasan adalah perkara pertama yang harus dilihat sebelum membuat sebarang pelaburan di instrumen yang diingini.
Nasihat Kewangan Kepada Rakyat Malaysia
Ketahui dan pastikan aliran tunai bulanan anda mengikut catuan 1/3 untuk setiap pecahan bagi simpanan, perbelanjaan dan komitmen kewangan. Kawal penggunaan kemudahan kad kredit. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Ringgit Plus Financial Literacy 2020, 47% dalam kalangan responden yang berusia 35 tahun dan ke bawah berbelanja melebihi pendapatan mereka.
Sangat penting untuk bekerjasama dengan Perancang Kewangan Berlesen bagi mengetahui keadaan semasa kewangan sebelum membuat sebarang. Tindakan ini bagi mengelakkan sebarang kesilapan kewangan yang mengambil masa yang lama untuk dibaiki dan mengalami kerugian sumber kewangan, masa dan tenaga.
Pastikan tabung kecemasan anda juga mencukupi sekurang-kurangnya selama 6 bulan gaji sebelum membuat sebarang pelaburan. Berbelanja secara berhemah dan berjimat mampu membantu untuk memastikan tabung kewangan anda mencukupi.
Apakah yang anda lakukan sebelum membuat sebarang pembelian? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen.
Ikuti Amirah di Facebook, Instagram, Linkedin
“How I Plan” is a series by My Personal Finances focusing on personal stories by licensed financial planners and Malaysians.
Leave A Comment