Ketahui beberapa teknik analisa pelaburan untuk menambahkan pengetahuan anda tentang dunia pelaburan.

Pelaburan adalah aktiviti membeli aset atau instrumen yang boleh dijual dengan harga lebih mahal kelak (pulangan dari segi modal) atau apabila aset tersebut memberikan pulangan (seperti sewa atau dividen). Terdapat pelbagai jenis pelaburan yang boleh dikaji.

Cabaran dalam dunia pelaburan adalah memilih jenis pelaburan sama ada dari segi pendapatan, risiko dan potensi kenaikan nilai (pulangan) – yang boleh dianalisa. Matlamat analisis pelaburan adalah memastikan sama ada sesuatu pelaburan itu sesuai dalam portfolio. Langkah ini adalah yang paling penting dalam pelaburan. Tiga jenis perkara yang boleh dinilai adalah:

  • Risiko
  • Aliran tunai
  • Nilai potensi jualan

Kita akan lihat jenis analisis pelaburan yang paling popular yang mampu memberikan anda kelebihan.

#1. Dari Bawah Ke Atas (Bottom Up)

Ekuiti (saham) dinilai berdasarkan analisis keseluruhan yang bermula dari bawah. Perkara yang dikaji adalah kekuatan faktor harga, pengurusan dan jumlah nilai syarikat.

Namun, apabila dilihat dari segi pembahagian portfolio anda, cara ini tidak mengambil faktor seperti pasaran am dan kitaran ekonomi. Strategi ini lebih fokus terhadap saham dan syarikat. Berbanding dengan cara lihat keseluruhan pasaran, strategi ini lebih ke arah apa yang terjadi dalam syarikat.

#2. Dari Atas Ke Bawah (Top-Down)

Sebelum anda membuat keputusan lebih terperinci, anda juga boleh gunakan strategi ini yang melihat faktor ekonomi, pasaran dan trend industri. Sebagai contoh, pelabur mungkin mengkaji seluruh industri dan memilih teknologi kerana beranggapan bahawa industri ini akan lebih besar berbanding industri pembinaan. Jadi, dengan keputusan ini, pelabur tersebut akan melabur lebih banyak ke dalam industri teknologi dalam portfolio mereka.

Cara analisis ini banyak digunakan oleh pelabur yang lebih fokus ke arah makroekonomi dan lebih gemar menggunakan ETF berbanding saham individu.

#3. Analisis Asas (Fundamental)

Strategi ini menganggap bahawa saham syarikat mempunyai nilai yang akan dikenali oleh pasaran. Untuk ketahui apa nilai ini, pelabur perlu lihat keputusan dan rekod kewangan sesebuah syarikat.

Pelabur fundamental mengkaji situasi yang terjadi dalam industri dan juga syarikat yang terlibat serta ekonomi. Untuk menilai sesebuah syarikat, metrik yang digunakan adalah pulangan setiap saham (earnings per share), pulangan dividen, nisbah harga-pulangan (price-earnings ratio), dan pulangan terhadap ekuiti (return-on-equity). Strategi ini mengambil kira perkara seperti aset, liabiliti dan perbelanjaan sesebuah perniagaan.

#4. Nisbah Harga-Pulangan (Price-to-Earnings Ratio)

Nisbah harga-pulangan memberikan gambaran terhadap hubungan antara harga sesebuah saham dan pulangan syarikat untuk setiap saham dalam tempoh masa tertentu. Tempoh masa setahun biasanya digunakan. Ia menunjukkan betapa mahal (atau murah) sesebuah syarikat untuk setiap RM1 yang dilaburkan.

Nisbah harga-pulangan = Harga saham / Pulangan tahunan dibahagikan dengan jumlah saham (Pulangan setiap saham)

Selalunya, pelabur akan membandingkan nisbah harga-pulangan sebuah syarikat dengan syarikat lain dalam industri yang sama untuk lihat sama ada syarikat tersebut “mahal atau murah”. Lebih kurang nilai nisbah harga-pulangan, lebih “murah” syarikat tersebut.

#5. Pulangan Setiap Saham (Earnings per share)

Pulangan setiap saham adalah metrik untuk menilai keuntungan yang boleh dibandingkan dengan syarikat lain. Cara ini memberi perspektif terhadap potensi keuntungan dan kuasa jualan sesebuah syarikat.

Anda boleh lihat rekod pulangan setiap saham dalam tempoh masa tertentu (e.g 5 tahun) dan kaji sama ada rekod ini bertambah baik atau buruk. Selalunya, pelabur lebih gemar terhadap syarikat yang mempunyai rekod pulangan setiap saham yang konsisten.

Formula pulangan setiap saham adalah seperti berikut:

Pulangan setiap saham = (Untung bersih – Dividen)/Jumlah Saham

Jika struktur modal sebuah syarikat bertukar semasa penilaian, pulangan setiap saham akan dikira berdasarkan purata jumlah saham.

Metrik ini memberikan gambaran berapa jumlah pulangan untuk setiap pelabur boleh dapat. Namun, metrik ini sahaja tidak memberikan gambaran penuh. Terdapat indikator lain yang boleh menilai sesebuah syarikat.

#6. Nilai Buku (Book Value)

Nilai buku boleh digunakan untuk cari syarikat berpotensi tinggi yang masih murah. Nilai buku adalah jumlah semua aset syarikat tersebut selepas ditolak dengan jumlah liabiliti syarikat. Nisbah harga-nilai buku pula adalah harga saham dibahagikan dengan jumlah nilai buku. Nilai nisbah harga-nilai buku (P/B ratio) yang rendah menandakan syarikat tersebut “murah”.

Formula nisbah harga-nilai buku boleh dikira melalui – (Jumlah Nilai Syarikat/Nilai Buku Bersih) atau (Harga Saham/Nilai buku bersih dibahagikan dengan jumlah saham)

Nilai buku bersih pula adalah (Jumlah Aset – Jumlah Liabiliti)

Selalunya, metrik ini menunjukkan sentimen pelabur dan pasaran terhadap sesebuah syarikat. Selain daripada itu, metrik nisbah ini juga digunakan untuk menilai industri hartanah, insurans, kewangan dan pelaburan.

Namun, perniagaan yang tidak memerlukan aset yang banyak (seperti syarikat teknologi) mungkin tidak sesuai dinilai dengan cara ini.

#7. Pulangan Dividen

Hubungan antara pembayaran dividen sesebuah syarikat dan saham dikenali sebagai pulangan dividen. Bahagikan dividen tahunan dengan harga saham semasa dan anda akan dapatkan pulangan dividen. Metrik ini boleh dibandingkan dengan syarikat lain juga.

Nisbah ini digunakan  untuk pelabur yang ingin ketahui pulangan pelaburan mereka jika tiada kenaikan harga saham dan hanya mengambil kira aliran tunai yang diterima untuk setiap RM1 yang dilabur dalam perspektif ekuiti sahaja.

Jika pelabur inginkan pulangan lebih tinggi, mereka akan mencari syarikat yang menawarkan pulangan dividen yang memuaskan.

Formula pulangan dividen adalah: (Jumlah dividen tahunan/harga saham) x 100

#8. Pulangan Setiap Ekuiti (Return-on Equity, ROE)

Pulangan ekuiti adalah cara mengkaji sama ada syarikat tersebut efisien dalam menukar modal kepada untung. Untung bersih daripada laporan kewangan syarikat digabungkan dengan jumlah saham pelabur untuk dapatkan nilai ROE.

Bayangkan jika sesebuah syarikat jual semua aset mereka untuk bayar hutang, jumlah yang tinggal ini digunakan untuk bayar pelabur. Metrik ini dikenali sebagai pulangan setiap ekuiti.

Rumusan

Semua cara ini boleh digunakan dalam strategi pelaburan anda dan membantu anda membuat keputusan lebih berhemah. Pastikan anda sesuaikan dahulu dengan portfolio dan profil risiko anda sebelum mula melabur.

 

Apakah strategi yang anda guna untuk nilai syarikat? Kongsi bersama kami teknik analisis kegemaran anda. 

 

You May Also Like