Kebanyakan orang tidak berfikir dua kali tentang kos yang perlu ditanggung untuk mempunyai haiwan peliharaan kerana menganggapnya sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Namun begitu, amat penting untuk menguruskan dan mengetahui perbelanjaan yang ada supaya ia tidak menjadi beban untuk pemilik. (Original article in English)

Menjaga haiwan peliharaan adalah perkara yang menyeronokkan dan memberikan kegembiraan kepada keluarga. Mereka boleh memberikan sokongan fizikal dan emosi, terutamanya kepada individu yang memerlukan penjagaan istimewa. Namun, ramai yang tidak berfikir 2 kali untuk menanggung kos kewangan yang hadir bersama haiwan kesayangan. Lebih menyedihkan, kebanyakan haiwan peliharaan diabaikan kerana kos penjagaan semakin meningkat dan mahu mengelak daripada membayar kos perubatan yang tinggi.

Untuk mengelakkan senario sebegitu berlaku, lihat beberapa perbelanjaan yang diperlukan untuk menjaga haiwan kesayangan anda. Untuk artikel ini, kami menjangkakan kos yang biasa untuk haiwan peliharaan (yang bukan eksotik kerana ia hadir dengan kos yang lebih tinggi)

Kos permulaan

Sebelum bermula, kita perlu mengetahui kos permulaan untuk memelihara mereka. Bergantung kepada baka haiwan dan reputasi pembiak, membeli haiwan peliharaan boleh menjadi mahal, bermula dari beberapa ratus ringgit sehingga ribuan ringgit.

Mengambil haiwan di pusat penjagaan adalah salah satu cara yang boleh dilakukan. Pusat peliharaan adalah rumah sementara untuk haiwan terbuang atau sesat, yang mahu mencari sesiapa mengambil mereka. Mengambil haiwan di pusat penjagaan biasanya melibatkan kos yang agak kecil, samada membayar kos ubat cacing, neuter dan vaksinasi. Ia juga boleh melibatkan derma kepada pusat jagaan untuk membantu kos operasi mereka.

Mengambil haiwan dari pusat jagaan adalah langkah terbaik untuk menjimatkan wang,tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti seperti perubatan dan temopat tinggal. Mereka juga mungkin mempunyai penyakit yang memerlukan penjagaan dan kos yang lebih, misalnya jika ada masalah buah pinggang dan perlu menjalani dialisis. Haiwan yang dibuang kebanyakkannya mempunyai sejarah didera oleh pemilik dahulu, dan ini mampu menyebabkan mereka bersikap liar dan memerlukan latihan serta terapi.

Perlu diingati juga bahawa terdapat sesetengah haiwan yang memerlukan lesen untuk menjaganya. Semak dengan pihak Jabatan Perhilitan berdekatan anda untuk maklumat lanjut.

Makanan

Makanan merupakan bahagian yang utama untuk haiwan peliharaan anda, terutamanya untuk haiwan berbulu. Semakin besar haiwan, semakin banyak peruntukan yang diperlukan untuk makanan tersebut. Bergantung kepada jenis haiwan, makanan yang diberikan berbeza samada makanan yang dikhaskan untuk mereka atau lebihan makanan anda.

Secara purata, kos makanan mampu menelan belanja dari RM30 hingga RM60 sebulan, dan mampu mencecah kepada RM300 untuk makanan yang berkualiti tinggi. Membeli makanan mereka dalam kuantiti borong boleh membantu anda menjimatkan wang, tetapi perlu memastikan tarikh luputnya masih jauh.

Pastikan anda memeriksa komen daripada pengguna lain untuk jenama makanan itu supaya anda boleh membuat keputusan yang baik kerana jika membelinya daripada sumber yang mencurigakan boleh memberi kesan yang buruk untuk mereka.

Jika anda sangat sibuk dan tiada masa untuk menyediakan makanan haiwan peliharaan anda, terdapat servis yang bermula dari RM40 sebulan dengan menyediakan makanan untuk mereka dan menghantarnya ke kediamanan anda. Mereka akan memastikan selera haiwan peliharaan anda dipenuhi beserta nutrisi yang lengkap.

Permainan/Snek dan Aksesori

Haiwan peliharaan akan memerlukan permainan untuk mengisi masanya, samada dengan barangan atau snek. Kedua-duanya mampu membantu mewujudkan persekitaran yang sihat dan menguatkan hubungan antara tuan dan haiwan peliharaan.

Mendapatkan saiz dan jenis yang sesuai untuk setiap aksesori boleh memberikan impak yang baik untuk haiwan kesayangan anda.

  • Tilam untuk tidur
  • Bekas makanan & minuman
  • Ruang peribadi contohnya sarang burung, akuarium, kandang
  • Ruang tandas seperti pasir kucing, kepingan kertas, tikar untuk anjing
  • Tali dan tali leher

Kesemua barangan ini boleh dibeli dari kedai, dalam talian atau membuatnya sendiri. Secara purata, pemilik boleh membelanjakan sekitar RM100 untuk permulaan dan RM20 untuk bulan-bulan berikutnya. Barangan haiwan peliharaan yang lebih mewah boleh meningkatkan jumlah tersebut jika anda tidak berhati-hati semasa berbelanja.

Fokus kepada mendapatkan barangan keperluan dahulu sebelum membelanjakan untuk barangan yang sekadar kehendak.

Perubatan dan ubat-ubatan

Menjaga haiwan peliharaan boleh memakan kos yang tinggi dan mengambil masa anda. Namun, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati juga boleh diaplikasi untuk haiwang kesayangan anda. Menjalani pemeriksaan tahunan penting bagi mengenalpasti jika mereka mempunyai sebarang penyakit dan boleh dirawat sebelum timbul sebarang risiko kesihatan yang serius.

Penjagaan veterinary boleh menjadi serendah RM35 hingga mencecah RM200, bergantung kepada keperluan haiwan tersebut. Vaksinasi, ubat-ubatan dan vitamin boleh mencecah sehingga ratusan ringgit untuk memastikan mereka sihat dan sejahtera.

Tetapi jika perkara yang tidak diingini berlaku dan haiwan peliharaan anda dijangkiti penyakit, lalu diagnostik, ubat dan rawatan boleh mencecah sehingga ribuan ringgit sebulan. Disebabkan perbelanjaan kecemasan sebegini boleh membebankan tuannya, insuran untuk haiwan peliharaan anda amat penting bagi menampung kos tersebut. Samada menggunakan insuran atau menyimpan sebahagian wang setiap bulan untuk tujuan berkenaan.

Penjaga atau Hotel untuk Haiwan

Jika anda bercadang untuk melancong, terdapat pengangkutan yang melarang untuk membawa haiwan peliharaan bersama-sama. Ia mungkin berbahaya untuk kesihatannya. Untuk situasi sebegini, anda perlu meninggalkannya di satu lokasi khas. Servis seperti penjaga haiwan atau hotel khas untuk mereka diperlukan apabila anda mahu meninggalkan mereka untuk sementara waktu. Kosnya boleh mencecah dari berpuluh ringgit sehingga ratusan ringgit sehari, bergantung kepada servis yang ditawarkan.

Meletakkan haiwan di penginapan khas boleh memakan kos yang tinggi, bergantung kepada kualiti servis ditawarkan, seperti makanan dan senaman. Pilihan lain adalah mengupah penjaga yang boleh datang untuk memeriksa haiwan di rumah anda dan menguruskan keperluan hariannya.

Kesimpulan

Haiwan peliharaan boleh menjadi sangat mahal untuk dijaga, namun ganjarannya sebagai sebahagian daripada keluarga adalah sesuatu yang sangat berharga. Pemiliknya perlu tahu beberapa perkara dan cara untuk mengurangkan dan berjimat untuk penjagaan mereka, kerana menjaga haiwan peliharaan tidak seharusnya menjadi beban untuk pemiliknya.

Apakah perbelanjaan lain yang tidak kami masukkan? Komen dalam ruangan komen di bawah.

You May Also Like