Bimbang tentang kos yang diperlukan untuk kesihatan mental anda? Bagaimana anda boleh menguruskannya dengan bijak? (Original article in English)

Masalah mental. Ia merupakan salah satu masalah kesihatan yang semakin meruncing di dunia dan juga di Malaysia. Semasa pandemik, masalah ini menjadi lebih teruk dengan lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai tekanan perasaan, keresahan dan masalah mental yang lain. Befrienders KL melaporkan bahawa jumlah panggilan meningkat sebanyak 4 kali ganda berbanding sebelum pandemik.

Di Malaysia, stigma sosial tentang kesihatan mental masih kuat dan ramai yang tidak mahu mendapatkan bantuan kerana tidak mahukan pandangan serong oleh masyarakat. Ramai juga yang masih tidak sedar tentang kos yang hadir apabila merawat masalah mental dan mampu memberi impak kepada simpanan dan pendapatan diri. Ketahui beberapa kos kewangan yang dikaitkan dengan rawatan masalah mental.

#1. Terapi

Ini mungkin menjadi kos terbesar untuk mendapatkan rawatan bagi masalah mental anda. Mendapatkan khidmat pakar psikiatri untuk ini memakan kos yang tinggi kerana mereka mempunyai kepakaran tentang perkara berkaitan minda dan lesen untuk memberikan ubat-ubatan untuk anda.

Sesi bersama pakar psikiatri di Malaysia memerlukan antara RM100 hingga RM300 setiap sesi di hospital swasta. Kosnya akan menjadi lebih rendah jika anda mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di mana sesi pertama bernilai RM30 dan sesi seterusnya bernilai RM15.

Di Malaysia, kita masih kekurangan pakar psikiatri dan ia semakin teruk semasa pandemiK. Dengan peningkatan risiko kehilangan kerja dan tinggal berseorangan, pakar psikiatri menghadapi masalah untuk merawat pesakit yang memerlukan khidmat mereka.

Jika anda tidak mampu membayar kos rawatan pakar psikiatri atau menunggu giliran di hospital kerajaan, anda boleh mendapatkan khidmat kaunselor dengan caj yang lebih rendah, yang membantu anda dengan terapi tetapi tidak boleh memberikan ubat-ubatan. Sesi selama sejam berharga RM30 hingga RM100, tetapi ada juga sesi yang berharga lebih tinggi. Jika ia di luar kemampuan, anda juga boleh menelefon Befrienders yang menawarkan khidmat terapi secara percuma.

#2. Ubat-ubatan

Tidak semua individu perlu mengambil ubat-ubatan untuk kesihatan mental mereka. Namun, jika anda mempunyai simptom yang teruk, ubat yang diberikan mampu membantu untuk menguruskan dan menenangkan mental anda buat sementara waktu.

Kos ubat untuk penyakit mental adalah berbeza mengikut tahap keseriusannya. Doktor perlu menilai keadaan anda, memberikan ubat dan kemudian melihat keberkesanan ubat sebelum menyesuaikan dosnya untuk keperluan anda. Apabila kesihatan mental anda berubah, jenis ubat turut berubah dan dos turut berubah, dan oleh sebab itu, amat penting untuk mengikuti setiap perjumpaan dengan doktor anda.

Jangan sesekali mengambil ubat tanpa preskripsi doktor. Walaupun semasa anda berasa tidak gembira dengan stigma yang dikaitkan tentang penyakit mental ataupun mahu mengelakkan kos berjumpa dengan doktor, adalah penting untuk berada di bawah pemerhatian pakar yang bertauliah. Dalam masa yang sama, jangan berhenti daripada mengambil ubat kecuali disarankan oleh doktor. Jika anda mempunyai sebarang persoalan tentang kos dan keberkesanan rawatan, berbincanglah dengan doktor anda.

#3. Perubahan dalam Corak Pemakanan

Salah satu cadangan untuk merawat masalah mental adalah perubahan corak pemakanan. Dalam bidang perubatan kini, fokus terhadap kesan corak pemakanan dan kesihatan mental semakin ditekankan. Terdapat bukti yang menyokong bahawa pemakanan sihat mampu menjadi “rawatan yang berkesan dan boleh diakses” untuk mereka yang menghidap tekanan melampau.

Walaupun corak pemakanan adalah berbeza untuk setiap individu dan tiada diet yang sesuai untuk semua, boleh disimpulkan bahawa mengurangkan pengambilan makanan segera yang mempunyai kadar nutrisi rendah dan meningkatkan pengambilan sayur-sayuran, makanan laut, bawang putih, bijirin dan kacang mampu mengurangkan simptom tekanan perasaan.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menguruskan kesihatan mental, perubahan pada corak pemakanan mampu memberi kesan kepada kewangan anda. Jika anda mengambil makanan yang kurang sihat kerana ia lebih murah, bertukar kepada makanan sihat yang sedikit tinggi harganya mampu mengubah kewangan anda.

#4. Aktiviti Tambahan

Menghadapi isu kesihatan mental adalah bergantung kepada diagnosis anda, yang mungkin memerlukan anda mengubah sebahagian gaya hidup. Salah satu pendekatan yang boleh dilakukan adalah menyertai aktiviti sihat dengan jumlah sederhana. Ia mungkin berbentuk senaman, berkebun, melukis dan aktiviti lain.

Aktiviti sebegini hadir dengan perbelanjaan tersendiri. Contohnya, melalui aktiviti senaman. Bayaran bagi keahlian gim boleh mencecah antara RM120 hingga RM230 sebulan. Terdapat pilihan yang lebih murah,seperti berjoging di taman awam. Namun, amat penting untuk anda mencari keseimbangan antara kos yang perlu dibelanjakan dan kesihatan mental anda. Jika anda sukar untuk mengekalkan motivasi dan fokus untuk bersenam, mungkin lebih baik untuk mendapatkan keahlian gim dengan jurulatih peribadi. Dalam masa yang sama, jika and merasakan tertekan dengan masalah kewangan, pilihlah pilihan bersenam secara percuma.

#5. Makanan Kesihatan Tambahan

Mereka yang mempunyai isu kesihatan mental turut mencari makanan kesihatan tambahan. Perlu untuk anda sedari bahawa makanan kesihatan tambahan adalah tambahan kepada rutin sedia ada.

Keberkesanan makanan tambahan sebagai rawatan untuk kesihatan mental adalah topik kontroversi dalam bidang kesihatan mental kerana tiada sebarang bukti yang kukuh tentangnya. Pelbagai faktor perlu diteliti bergantung kepada diagnosi dan penyebab utama kepada isu yang anda hadapi.

Walaupun terdapat makanan kesihatan tambahan yang boleh membantu anda dan ada yang tidak, terdapat segelintir individu yang merasakan bahawa pengambilan makanan kesihatan tambahan yang diambil dengan dos yang betul dan tidak menganggu ubabt-ubatan sedia ada adalah tidak berbahaya. Oleh sebab itu, jika anda mahu mengambil sebarang makanan kesihatan tambahan, pastikan anda melakukan kajian dan berbincang dengan doktor anda.

Kesimpulan

Merawat kesihatan mental anda mampu memberikan impak yang besar terhadap keadaan psikologi dan kewangan. Kadangkala, hanya untuk mendapatkan terapi adalah sukar, apakan lagi mahu menguruskan kewangan diri sendiri. Kawal perkara yang anda belanjakan dan akan memperoleh perkara yang lebih baik.

Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah tentang perkara yang merisaukan anda semasa mendapatkan terapi!

You May also Like