Mengambil keputusan terhadap kewangan peribadi menjadi lebih mudah tanpa mengira jantina atau situasi semasa. (Original article in English)

Kewangan peribadi anda (peribadi atau keluarga) yang tidak teratur akan membuatkan anda keliru. Mungkin anda tidak pernah menumpukan perhatian kepadanya, ataupun anda pernah melakukannya tetapi tidak secara serius, ataupun anda baru mahu memulakannya dan perlu bermula dari kosong. Tidak kira apakah tahap anda sekarang, anda mahu mengambil keputusan yang betul sekarang.

Sebelum kita bermula, mari kita bincangkan samada jantina memberikan perbezaan yang ketara daripada segi kewangan peribadi. Di Malaysia, adalah normal untuk lelaki menjadi penyumbang utama dalam kewangan keluarga dan juga pengurus kewangan. Ia adalah beban yang tinggi untuk lelaki meningkatkan sumber pendapatan dan menguruskan kewangan. Mengapa hanya lelaki? Wanita juga boleh melakukan perkara yang sama juga!

Tidak percaya bahawa wanita juga mampu? Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, penglibatan wanita dalam tenaga kerja adalah sebanyak 55.8% pada suku pertama 2020 berbanding hanya 45.5% pada 2010. Ia menunjukkan bahawa golongan wanita di Malaysia telah meningkatkan kuasa membeli mereka. Tidakkah ia menunjukkan bahawa wanita juga boleh mengawal kewangan mereka.

Tanpa mengira jantina, topik berkaitan kewangan peribadi tidak lapuk kerana ia berkaitan wang anda dan anda perlu belajar untuk mengawalnya. Tiada lagi menyalahkan pasangan atau ibu bapa kerana tidak memberikan anda wang lebih, tidak mengawal perbelanjaan, tidak mengajar cara untuk melakukanya dan sebagainya. Selamat datang ke alam dewasa. Berita baik adalah tidak sukar untuk memulakan penjagaan terhadap kewangan anda.

Bersedia untuk lebih aktif dan memberikan perhatian lebih untuk kewanganda anda. Mari kita lihat langkah-langkah yang boleh diambil!

#1. Mengatur  – Tahu di Mana Perlu Dilihat

Tahukah anda kajian menyatakan bahawa kita mengambil masa selama 6 tahun untuk mencari barangan? Mempunyai sistem tersusun adalah impian yang indah – IKEA

IKEA menjual idea bahawa setiap rumah perlu mempunyai sistem yang tersusun. Apabila setiap barangan berada di tempatnya, kita akan mengurangkan kekusutan dan memberikan pemandangan yang kemas dan barangan mudah untuk dicari sehingga mengurangkan tekanan apabila anda anda perlu mencarinya dengan cepat.

Setiap hari, kita perlu menguruskan pelbagai dokumen, bil, rekod, penyata bank atau pinjaman samada dalam bentuk fizikal atau digital. Amat penting untuk anda menyimpannya dengan teratur contohnya dalam fail yang dilabelkan. Contoh dokumen yang perlu berada dalam keadaan teratur:

  • Sijil kelahiran
  • Polisi insuran
  • Wasiat
  • Perjanjian S&P
  • Sebarang borang atau dokumen berkaitan pemilikan seperti sijil emas, sijil Fixed Deposit
  • Penjanjian pinjaman (hutang)

Maklumkan kepada ahli keluarga anda di mana anda menyimpan kesemua dokumen itu. Teliti kesemuanya apabila perlu dan pastikan mereka faham sistem yang digunakan. Lagipun, kesemua dokumen ini turut melibatkan mereka juga.

Tabiat ini adalah penting apabila berlaku perkara yang tidak dijangka seperti kematian, kemalangan atau penyakit. Dengan cara ini, mereka tidak perlu mencarinya tetapi hanya perlu merujuk sistem anda.

#2. Mengesan – Sentiasa Peka dengan Aktiviti Wang Anda

 Anda perlu tahu dari mana wang anda datang dan ke mana ia pergi. Jika anda mahu menguruskan kewangan diri, adalah penting untuk mengesan setiap sen yang dibelanjakan. Langkah ini membolehkan anda mengesan perjalanan wang anda dan meneruskan proses merancang kewanga .

Ia semudah memilih untuk menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai apabila membayar bil. Bukan sahaja mudah dan menjimatkan masa, tetapi menyediakan rekod untuk rujukan masa depan.

Anda juga boleh mempunyai akaun bank berlainan untuk pelbagai kegunaan. Contohnya, anda mempunyai akaun bank untuk gaji dan perbelanjaan bulanan dan akaun bank berlainan bagi pendapatan sampingan dan belanja yang berkaitan dengannya.

Faktor utama pentingnya mempunyai sistem adalah anda boleh meneliti aliran tunai yang menjadi tunjang utama dalam pengurusan kewangan. Individu perlu mempunyai rekod aliran tunai samada tetap, pelbagai, aktif atau pasif. Kategorikan perbelanjaan anda. Ia mungkin berkaitan dengan belanja untuk anak-anak, belanja rumah, komitmen pinjaman atau belanja untuk hobi dan kegiatan masa lapang. Terdapat banyak aplikasi yang boleh membantu menguruskan rekod anda atau anda boleh menggunakan aplikasi excel untuk kemudahan rekod.

Sistem anda tidak perlu sangat sempurna. Beri masa untuk anda menyesuaikannya mengikut cara sendiri. Kemudian, biasakan diri untuk mengesan belanja harian, dengan menggunakan sistem yang anda cipta dan semak selalu untuk memastikan tiada perbelanjaan atau perkara yang tertinggal.

#3.Penilaian– Mengumpul & Memahami Data Kewangan Peribadi Anda

Dalam pengurusan kewangan peribadi, terdapat 3 rekod utama yang perlu ada:

  • Aliran tunai: Ketahui dari mana wang anda datang (pendapatan), dan ke mana wang tersebut pergi (perbelanjaan)
  • Penyenaraian aset: Senaraikan aset yang penting untuk anda. Boleh jadi akaun simpanan, pelaburan, hartanha, emas, barang kemas dan polisi insuran. Kesemuanya perlu direkodkan dengan sebaiknya.
  • Liabiliti/Hutang: Jumlah yang anda berhutang, cukai pendapatan yang perlu direkodkan dengan baik dan tepat.

Anda tidak boleh menyatakan bahawa anda hanya mahu fokus terhadap 1 atau 2 daripada 3 rekod yang disenaraikan. Besar kemungkinan anda telah melihat kebanyakan daripadanya jika anda mengikut langkah yang #1 dan #2 di atas. Ambil masa untuk menyemak jika ada yang tertinggal, catatkannya, dan masukkan dalam sistem anda.

Kemudian, anda mungkin perasan tentang perkara ini, tetapi ambil masa untuk melihat bagaimana 3 rekod utama ini melengkapi antara satu sama lain.

  1. Hutang/ liability anda adalah apa yang anda hutangkan. Objektif dan keutamaan anda dalam pengurusan kewangan peribadi adalah untuk menyelesaikan hutang sedia ada.
    • Anda tidak memiliki rumah/kereta/pakaian itu sehingga anda menyelesaikan pinjaman dan bilk ad kredit, jika tidak ia adalah milik bank yang memilikinya walaupun anda tinggal atau menggunakannya.
  2. Aset anda adalah kekayaan yang terkumpul. Objektif anda adalah untuk meningkatkannya secara berperingkat supaya anda boleh mempunyai hidup yang selesa, menggunakannya untuk mencapai sasaran hidup, dan akhirnya digunakan untuk meninggalkan harta kepada keluarga.
  3. Aliran tunai anda adalah bagaimana pendapatan digunakan dan perbelanjaan sehingga mengurangkan liabiliti/hutang hingga meningkatkan aset anda.

Dengan memahami bagaimana ia melengkapi satu sama lain, anda perlu memahami kepentingan dan nilainya untuk memastikan anda boleh mengesan dan mengekalkan 3 rekod utama ini. Tetapi tunggu, ada lagi perkara lain yang perlu diberikan perhatian.

Seterusnya, anda perlu mempunyai perancangan untuk menyelesaikan perkara yang penting. Setelah anda mempunyai 3 rekod utama ini, anda perlu membuat perancangan masa depan dan bagaimana anda mahu membuat perubahan yang positif.

Contohnya, mengabaikan pembayaran hutang boleh menyebabkan kehilangan sumber kewangan misalnya, denda bayaran lewat, kadar faedah yang tinggi dan risiko hartanah anda untuk dilelong. Jika pada masa ini, anda masih lagi komited membuat bayaran bulanan, tetapi gaji bulanan dan perbelanjaan anda tidak mencukupi untuknya, anda perlu melihat semula perbelanjaan dan apa yang boleh dikurangkan. Jika tidak, lihat pendapatan anda dan fikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan anda samada daripada segi jumlah atau bilangan sumber pendapatan. Yang membawa kita kepada langkah seterusnya!

#4. Berbincang dengan Keluarga

Setelah langkah #1, #2, dan #3 dijalankan, ini adalah masanya untuk berbincang hasil yang diperoleh. Duduk bersama pasangan, ahli keluarga, dan mungkin juga diri sendiri untuk berbicara tentang impian dan sasaran yang dimahukan untuk masa depan anda. Teliti data sedia ada, ketahui keadaan semasa kewangan, impian masa depan seperti persaraan, melancong, pendidikan, kebebasan kewangan) dan fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk mencapainya.

Utamakan perkara yang penting dan memberikan perhatian terhadap nilai diri dan nilai keluarga. Buang perkara yang tidak penting adalah proses yang sangat penting kerana ia memberikan anda peluang untuk belajar dari pengalaman lalu. Proses ini membolehkan anda mengelakkan daripada membuat kesalahan yang sama yang mampu membantu anda menyimpan wang untuk jangka masa yang panjang!

Antara aspek lain yang penting adalah menetapkan jangkaan anda. Jika anda dan pasangan mempunyai komunikasi yang jelas, ia akan membantu merapatkan hubungan anda juga. Ingat, apa yang anda perlu lakukan adalah mempunyai perbincangan yang telus, ikhlas dan kerap untuk mengenal pasti perubahan yang berlaku.

“Having that same curiosity that you would have on a first date would be helpful” – Kathleen Burns Kingsbury, Wealth Psychology Expert at  KBK Wealth Connection 

“Discard everything that does not spark joy” – Marie Kondo

#5. Sokongan – Kenal Pasti Dengan Siapa Anda Boleh Bergantung

Tanya diri anda, siapakah insan yang penting selepas keluarga dan ibu bapa. Mungkin mereka adalah adik-beradik, sahabat, jiran atau pembantu anda. Siapa-siapa sahaja yang boleh menyokong dalam keputusan yang dibuat.

Perkara yang penting adalah hubungan yang anda ada dengan mereka. Semasa krisis atau krisis yang tidak dijangka, mempunyai sistem sokongan yang baik boleh mengurangkan impak terhadap keadaan kewangan anda. Dalam erti kata lain, ini adalah aspek pengurusan risiko. Wang tidak mencukupi untuk menguruskan krisis sebegini. Mungkin situasi pandemic telah mengajar kita untuk menguruskannya. Sistem sokongan diperlukan untuk memastikan anda boleh mengurangkan risiko terhadap keadaan kewangan diri. Mempunyai sistem sokongan yang boleh dipercayai dan diharapkan adalah sangat berharga.

#6. Raikan Kewangan Anda

Ini adalah langkah terakhir untuk menyimpulkan kesemua usaha anda selama ini. Sentiasa ada perkara yang boleh diraikan. Jangan abaikan kejayaan kecil setiap hari. Dalam erti kata lain “apa yang anda raikan, meraikan anda juga”. Ia bermaksud (1) fokus dan sedar perkara yang berlaku; (2) berbangga dengannya; dan (3) bersyukur dengan setiap kegembiraan yang dibawa olehnya.

Kesimpulan

Tidak kira di manakah tahap anda dalam menguruskan kewangan, memulakannya adalah kunci utama. Hal ini kerana  tahu dan melakukannya adalah dua perkara berbeza. Jika anda memahami keputusan kewangan yang dibuat, anda bukan shaja melindungi diri tetapi melindungi insan yang disayangi.

Anda perlu mula untuk percaya bahawa dengan pemikiran yang betul dan pengetahuan yang baik, wanita mampu untuk menguruskan kewangan mereka selain keluarga, fesyen dan kerjaya. Jika anda adalah peminat Marie Kondo, yang popular dengan kaedah KondoMari untuk menyusun, anda juga boleh mengaplikasikan konsep yang sama; Kemas-Berguna-Memberi Kegembiraan” walaupun melibatkan kewangan anda.

Berjumpalah dengan pakar kewangan seperti Perancang Kewangan Berlesen jika anda memerlukan pertolongan. Ia juga boleh menjimatkan masa anda!

Jadi, adakah anda bersedia untuk bertindak dan lebih yakin dalam menguruskan kewangan anda?

You May Also Like