Bulan Ramadhan kini hadir semula untuk disambut oleh umat Islam seluruh dunia. Ketahui langkah-langkah yang anda boleh lakukan untuk berjimat dan menambahkan simpanan pada bulan yang mulia ini.
Alhamdulillah, bertemu lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Bulan ini seharusnya menjadi bulan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kerana pelbagai ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT berbanding bulan-bulan yang lain. Kalau tidak direbut, mungkin peluang sebegini tidak lagi kita perolehi.
Kalau diumpamakan seperti menunggu tarikh-tarikh seperti 1.1 atau 12.12 dan sebagainya di aplikasi beli-belah Shopee dan Lazada, dengan pelbagai diskaun dan promosi yang ditawarkan sehingga rambang mata untuk memilih namun anda memilih untuk berbelanja sehingga tiba tarikh yang dinantikan. Itu adalah contoh dalam hal dunia yang sementara, walhal dalam hal akhirat, terdapat pelbagai promosi dan diskaun yang diberikan. Amalan sunat tidak lagi mendapat pahala sunat sahaja tetapi boleh mendapat pahala fardhu dan pahala amalan fardhu menjadi berlipat ganda. Buat sedikit tetapi ganjaran diperolehi akan berganda.
Keistimewaan bulan Ramadhan adalah ia sebuah manifestasi perjuangan melawan hawa nafsu, perjuangan untuk membuat perubahan dalam kehidupan kita ke arah yang lebih baik. Perlawanan menguruskan nafsu sehingga kita tak sangka kita mampu menahan diri daripada makan dan minum selama sebulan di waktu siang. Jadi tidak mustahil untuk kita membuat perubahan-perubahan lain ke arah yang lebih baik.
Dalam konteks pengurusan kewangan, bulan Ramadhan boleh menjadi medan perubahan kewangan ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya. Sekiranya kita mampu berubah pada bulan ini, ia akan menjadi pemangkin perubahan di bulan-bulan yang lain. Artikel ini akan berkongsi 7 tip untuk berjimat pada bulan Ramadhan.
Kenapa perlu berjimat selalu sehingga masih dibincangkan pada bulan Ramadhan? Tahukah anda, individu yang berjaya dalam pengurusan kewangan mampu mengetepikan sebahagian wang mereka untuk simpanan. Simpanan ini akan menjadi satu rutin untuk mengawal nafsu dan membantu anda mencapai matlamat kewangan. Artikel ini akan memfokuskan untuk berjimat dan mampu membantu anda menjadikan simpanan satu rutin.
Contents
#Tip 1: Merancang Perbelanjaan di Bulan Ramadan
Antara masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan individu adalah kesukaran untuk menyimpan, walaupun gaji dan pendapatan meningkat setiap tahun. Mereka buntu dan berasa seperti seekor tikus yang berlari dalam bulatan roda, bergerak tetapi hakikatnya tidak ke mana-mana. Mereka berpendapat bahawa jika pendapatan naik, mereka boleh membelanjakan wang tersebut dengan sesuka hati mereka.
Akhirnya mereka menyedari bahawa masalah tersebut berpunca daripada tiada perancangan dalam perbelanjaan, jika ada duit semuanya akan dibelanjakan. Untuk menyelesaikan msalah tersebut, perancang kewangan boleh membantu untuk menyusun kewangan dengan membuat perancangan perbelanjaan, mengenal pasti apakah keperluan dan kehendak dan berpegang kepada perancangan tersebut. Hasilnya, simpanan yang konsisten dapat dicipta.
Kembali kepada bulan Ramadhan, bulan ini mampu membantu untuk kita merancang perbelanjaan dan menyimpan. Jika perbelanjaan untuk makan pada siang hari sudah tiada, anda boleh menyimpannya, kerana jika tidak, wang tersebut mungkin akan dikeluarkan secara berlebihan untuk makanan berbuka puasa sehingga menyebabkan pembaziran. Ia adalah satu kerugian, jadi ambillah kesempatan ini untuk membaiki aliran tunai dengan merancang perbelanjaan pada bulan Ramadhan.
#Tip 2: Berhemah dalam Berbelanja
Sekiranya anda mahu mempunyai simpanan, anda perlu berhemah dalam berbelanja dan berfikir sejenak sebelum membeli. Pada bulan Ramadhan, terdapat pelbagai iklan makanan yang menggiurkan untuk menggoda ramai untuk membelinya. Misalnya apabila anda ke bazar Ramadhan, anda mungkin terdorong untuk membeli hampir semua jenis makanan tetapi hanya sedikit sahaja dinikmati kerana jumlahnya yang banyak. Tidak termasuk lagi makanan yang tidak dinikmati kerana rasanya kurang memuaskan. Alangkah ruginya apabila berlakunya pembaziran sedangkan ramai lagi mereka yang kurang berkemampuan dan tiada juadah untuk berbuka. Tidak termasuk lagi sebarang perbelanjaan untuk menyambut hari raya.
Oleh sebab itu, untuk berhemah dalam berbelanja, hendaklah sentiasa berfikir adakah akan berlaku pembaziran apabila kita membuat pembelian. Sekiranya berlaku, maka bulan Ramadhan adalah peluang untuk kita berubah kepada yang lebih baik.
#Tip 3: Bersama Masyarakat di Masjid dan Surau
Kebanyakkan masjid dan surau di seluruh negara akan menyediakan juadah berbuka dan moreh sepanjang bulan Ramadhan. Jika anda merancang untuk berjimat, anda boleh bersama-sama memeriahkan masjid dan surau dalam aktiviti berbuka puasa. Selain mengeratkan persaudaraan, secara tidak langsung anda tidak perlu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk juadah berbuka puasa.
Aktiviti sebegini mampu memakmurkan dan merapatkan komuniti masjid dan surau selain menjimatkan wang belanja untuk berbuka puasa. Ia hanya berlaku pada bulan ini sahaja dan rebut peluang yang ada ini untuk membuat penjimatan.
#Tip 4: Menyediakan Juadah untuk Berbuka Puasa
Salah satu cara untuk berjimat di bulan Ramadhan adalah anda boleh memasak juadah berbuka dan sahur sendiri terutama bagi yang berkeluarga atau mereka yang bujang dan tinggal bersama rakan serumah dengan berkongsi perbelanjaan barangan dapur. Memasak juadah sendiri adalah lebih jimat berbanding makan di luar atau membeli juadah di bazar Ramadhan.
Barangan makanan yang bernilai RM100 di bulan Ramadhan mungkin dapat menyediakan juadah untuk 3 hingga 4 orang selama tiga hingga empat hari. Jika dibahagikan kos untuk setiap orang, seorang akan berbelanja RM11 sehari untuk juadah berbuka dan sahur. Dibandingkan dengan bulan lain, nilai tersebut boleh menjadi untuk sekali makan sahaja. Persediaan juadah sendiri sedikit sebanyak membantu menjimatkan perbelanjaan seterusnya membantu anda untuk menyimpan dengan lebih efektif.
#Tip 5: Infaq atau Bersedekah
Infaq atau derma yang dikeluarkan secara mata kasar kelihatan seperti mengurangkan harta kerana anda menyerahkan wang anda untuk diberikan kepada pihak lain. Bagaimana infaq dapat membantu dalam langkah berjimat? Apabila seseorang memberi sumbangan dan melihat bagaimana sumbangannya telah menggembirakan penerima serta mengubah nasib penerima, ia dapat membangkitkan jiwa dan secara fitrahnya penyumbang juga akan bahagia kerana sumbangannya dapat merubah kehidupan seseorang.
Hal ini menyebabkan penyumbang akan berusaha untuk terus memberi infaq. Penyumbang sedar bahawa untuk mengeluarkan infaq yang mengubah orang lain, maka dia perlu membuat sesuatu dalam pengurusan kewangan agar dirinya sentiasa mempunyai lebihan untuk diberikan kepada pihak lain. Belum pernah lagi kita mendengar seseorang jatuh miskin kerana memberi sumbangan, sebaliknya ramai yang jatuh miskin kerana berbelanja di luar kemampuan mereka.
#Tip 6: Tingkatkan Ilmu Pengurusan Kewangan
Bagi mengelakkan diri terus terjerumus dalam kesilapan-kesilapan kewangan, anda boleh melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan. Ilmu ini dapat memberi pencerahan dalam menguruskan kewangan dan melabur untuk ilmu adalah sesuatu yang tidak pernah merugikan. Anda boleh mendapatkan pelbagai maklumat pengurusan kewangan seperti di laman MyPF.my.
Sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk membaca atau buntu dalam menguruskan kewangan anda, dapatkan bantuan daripada Perancang Kewangan Berlesen dan mereka akan membantu anda secara menyeluruh dalam menguruskan kewangan selain menambah pengetahuan kewangan sedia ada.
Tip 7: Banyakkan Berdoa
Sebagai seorang muslim, doa adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kerana ia manifestasi pengharapan seorang hamba yang bergantung harap kepada Tuhannya. Apabila melibatkan perancangan dan pengurusan kewangan, boleh jadi ia tidak berjaya seperti yang kita harapkan walaupun pelbagai tip dan langkah telah dilakukannya. Namun begitu, semua perkara berlaku atas keizinan Tuhan. Maka berdoalah dengen penuh pengharapan agar setiap perancangan dan langkah yang diambil, Allah SWT akan memudahkan dan mendorong kita untuk mencapai matlamat kewangan kita.
Malah di antara waktu yang mustajab dan doa dikabulkan adalah ketika sebelum berbuka puasa sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. Maka pohonlah kepada Tuhan yang Maha Memberi.
Kesimpulan
Umat Islam perlu mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk membuat refleksi diri supaya mampu menentang godaan hawa nafsu dan meningkatkan ibadah untuk Allah SWT. Gunakan peluang ini juga untuk berjimat dan tidak membazir terutamanya semasa berbelanja untuk makanan dan juga persediaan menyambut hari raya Aidilfitri. Berbelanja dengan bersederhana amat digalakkan dalam Islam. Semoga Ramadhan kali ini mampu menjadi pemangkin kepada perubahan dalam kehidupan kita walaupun kecil serta memberi makna kepada diri dan orang sekeliling.
Apakah langkah yang sudah anda ambil untuk berjimat pada bulan Ramadhan ini?
Leave A Comment