Tertanya-tanya bagaimana wang cukai anda dibelanjakan pada setiap tahun? (Original article in English)

Setiap tahun, anda perlu mengisytiharkan pendapatan dan membayar cukai. Ia boleh menjadi perkara yang meresahkan terutamanya apabila anda perlu mengenal pasti apa yang boleh dituntut untuk mengimbangi pendapatan anda.

Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana wang cukai anda dibelanjakan oleh kerajaan? Bagaimana mereka menyalurkan wang cukai untuk membantu rakyat?

Artikel ini akan membantu anda memahami bagaimana kerajaan Malaysia memperoleh dan membelanjakan dana yang ada pada setiap tahun!

#1: Dari Mana Kerajaan Memperoleh Dana?

Persoalan pertama, dari mana kerajaan memperoleh dana pada setiap tahun? Anda mungkin terfikir kesemuanya diperoleh daripada cukai pendapatan dan cukai korporat yang dibayar oleh perniagaan.

Kenyataan ini tidak salah. Namun, hanya 40.4% daripada keseluruhan pendapatan kerajaan (anggaran RM285.2 bilion) dijangka diperoleh dari syarikat dan cukai pendapatan pada tahun 2022. Yang mengejutkan, sebahagian besar daripada pendapatan kerajaan adalah daripada perkara-perkara berikut.

  1. Pelaburan: RM63.4 bilion (22.2%)
  2. Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST): RM29.7 billion (10.4%)
  3. Cukai Duti (Eksais, Import, Eksport): RM15.9 billion (5.6%)
  4. Cukai Pendapatan Petroleum:RM19.3 billion (6.8%)
  5. Lesen dan Permit: RM13.3 bilion (4.7%)

Pendapatan daripada pelaburan adalah wang yang diperoleh dari institusi kerajaan dalam bentuk dividen seperti Petronas, Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad dan lain-lain lagi. Petronas misalnya adalah penyumbang terbesar pada 2022, dengan jangkaan sumbangan sebanyak RM50 bilion, diikuti oleh Bank Negara Malaysia pada RM5 bilion.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga antara penyumbang utama (caj perkhidmatan sebanyak 6% yang dikenakan kepada anda apabila makan di restoran)

#2: Berapa yang Kerajaan Belanjakan untuk Operasi Harian … atau Memastikan Ada Lampu pada Malam Hari?

Fikirkan perbelanjaan harian seperti apa yang dibelanjakan oleh syarikat untuk memastikan operasi hariannya berjalan lancar. Hal yang sama turut berlaku kepada kerajaan. Mereka perlu berbelanja untuk membayar gaji kakitangan awam, menghidupkan lampu, membaiki bangunan dan sebagainya.

Masih ingat wang RM285.5 bilion yang perlu dikutip oleh kerajaan pada tahun ini? Jumlah tersebut hampir tidak cukup untuk menampung perbelanjaan operasi sebanyak RM284.7 bilion.  Berikut adalah beberapa perkara yang dibelanjakan oleh kerajaan.

  1. Emolumen (Gaji dan Upah): RM86.5 billion (30.4% daripada jumlah perbelanjaan operasi)
  2. Subsidi dan Bantuan Sosial: RM58.9 bilion (20.7%)
  3. Caj Khidmat Hutang (Anggap ia seperti bayaran semula pinjaman): RM43.1 bilion (15.1%)
  4. Bekalan dan Perkhidmatan: RM33.3 bilion (11.7%)
  5. Caj Persaraan: RM28.7 bilion (10.1%)

Kerajaan membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatannya untuk gaji dan upah bagi kakitangan awam di kementerian. Kini, terdapat sebanyak 1.2 juta penjawat awam di Malaysia. Subsidi dan bantuan sosial terdiri daripada subsidi untuk petrol RON95 dan diesel di Malaysia. Masih ingat lagi isu harga ayam pada bulan Jun tahun ini? Kerajaan turut membantu untuk menampung subsidi harga ayam tersebut.

Perkara yang membimbangkan mungkin adalah caj khidmat hutang yang perlu dibayar oleh kerajaan untuk pinjaman yang dibuat, dan agak tinggi dengan jumlah 15.1% bagi keseluruhan perbelanjaan dan telah menjadi perdebatan yang hangat tentang kemampuan kerajaan untuk membayarnya.

#3: Adakah Kerajaan Mempunyai Wang untuk Melabur di dalam Projek?

Dengan begitu banyak wang digunakan untuk memastikan operasi kerajaan berjalan lancar, bagaimana kerajaan mampu melabur dalam projek-projek utama seperti jalan raya, pengangkutan awam, elektrik dan lain-lain lagi?

Dengan pinjaman. Masih ingat lagi tentang caj khidmat hutang? Kerajaan, seperti anda dan syarikat, boleh meminjam daripada pihak lain. Perbezaannya adalah mereka boleh meminjam dalam jumlah yang besar, atau lebih tepat berhutang sebanyak RM1.0 trilion kini.

Bagi tahun ini, kerajaan merancang untuk melabur sebanyak RM71.8 bilion dalam pelbagai projek di Malaysia dan dinamakan “ dana pembangunan”. Ia berbeza dengan belanja operasi. Fokus dana ini untuk membina pelbagai infrastruktur bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia pada masa depan. Sebahagian besar belanja ini menggunakan dana yang dipinjam oleh kerajaan.

Berikut adalah senarai perbelanjaan pembangunan yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan:

  1. Pengangkutan: RM14.1 billion (19.7% daripada jumlah belanja pembangunan)
  2. Pendidikan dan latihan: RM11.7 billion (16.3%)
  3. Keselamatan dan Pertahanan: RM8.8 billion (12.2%)
  4. Penjagaan kesihatan: RM4.5 billion (6.2%)
  5. Pertanian: RM2.8 billion (3.9%)

Kerajaan merancang untuk meneruskan pelaburan dalam projek pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan(LRT), Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kelantan), Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan banyak lagi. Dana untuk Pendidikan dan Latihan pula meliputi pembinaan, menaik taraf, membaiki sekolah, latihan vokasional dan program profesional serta kemahiran.

Sementara itu, kerajaan turut membeli lebih banyak peralatan kententeraan dan keselamatan, dan membina lebih banyak pejabat, kuarters dan kem sebagai sebahagian daripada belanja untuk keselamatan. Bagi penjagaan kesihatan, dana itu digunakan untuk membina, menaik taraf dan mengubah suai bangunan hospital dan klinik kesihatan di negara ini.

#4: Perlukah Kita Risau tentang Perbelanjaan Kerajaan yang Lebih Daripada Pendapatannya?

Secara teknikalnya, ya. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bimbang jika seseorang berbelanja di luar kemampuannya dan apabila individu itu adalah pihak kerajaan yang mengutip cukai daripada kita.

Walau bagaimanapun, terdapat konteks yang perlu diambil kira dalam isu ini. Jika anda merancang untuk membeli rumah atau kereta, kebiasaannya anda tidak meletakkan kesemua wang yang ada untuk membelinya. Anda akan cuba memohon pinjaman bank kerana anda tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya.

Kerajaan turut melakukan perkara yang sama. Mereka meminjam wang dan berbelanja lebih untuk projek-projek penting seperti pengangkutan awam, hospital dan sekolah. Ia memudahkan rakyat untuk pergi bekerja, mendapatkan khidmat kesihatan berkualiti dan pendidikan.

Kerajaan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar kesemuanya sekarang, jadi mereka meminjam. Kita tidak boleh menunggu sehingga berumur 65 tahun untuk mempunyai wang yang cukup membeli rumah. Seperti anda dan saya, kerajaan juga tidak boleh menunggu dengan lama untuk melabur dalam projek-projek tersebut.

Kita tidak seharusnya bimbang jika kerajaan belanja berlebihan atau melabur dalam projek yang bermanfaat untuk rakyat. Kita seharusnya risau jika pelaburan itu menjadi projek ‘gajah putih’ dan tidak bermanfaat untuk rakyat Malaysia.

Kesimpulan

Memahami cara kerajaan berfikir untuk membelanjakan wang cukai kita adalah penting untuk membantu suara anda didengari oleh mereka. Seringkali, kita tidak tahu apakah sebab sesuatu perbelanjaan dibuat, dan pemahaman ini membantu kita untuk memberi maklum balas terhadap kerajaan tentang cara mereka berbelanja. Memandangkan musim pilihan raya semakin hampir, gunakan maklumat ini untuk memahami bagaiman pelbagai pihak membelanjakan wang rakyat.

You May Also Like