Apakah yang boleh dikategorikan sebagai penipuan kewangan? Mengikut Bank Negara Malaysia, penipuan kewangan boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang mengandungi unsur tipu helah melibatkan transaksi kewangan dengan sengaja untuk menguntungkan individu/organisasi dan merugikan mangsa. Terdapat pelbagai jenis penipuan termasuk skim cepat kaya, Macau Scam, pemalsuan identiti dan lain-lain.
Contents
Skim Cepat Kaya, Skim Piramid dan Penipuan Kewangan
Akhbar dan televisyen melaporkan PDRM berkata kebanyakan golongan professional telah terjerat dalam skim cepat kaya. Kos sara hidup dilaporkan antara faktor utama sertai skim cepat kaya. Apabila sudah terjebak dengan skim cepat kaya ini, perancangan kewangan bagai angin lalu, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kebanyakan masa skim cepat kaya terdiri daripada golongan bawah 40 tahun. Mereka inilah juga yang mempunyai kelebihan merancang awal kerana 2 faktor: kelebihan umur dan “compounded dividend/interest”.
Golongan ini akan tertambat untuk membuat perancangan kew awal apabila terjebak dengan kesalahan demi kesalahan kewangan. Contoh biasa adalah; pinjaman dengan faedah yang tinggi, pinjaman demi pinjaman yang tidak menguntungkan serta terjerat dengan penipuan skim cepat kaya.
Oleh kerana ramai yang sanggup membuat pinjaman kerana terpengaruh dengan skim cepat kaya, berikut antara langkah untuk kita mengenalpasti perniagaan yang mempunyai tanda skim piramid:
1. Tawaran komisen sebagai ganjaran penajaan ahli dan pengedar baru.
Setiap ahli baru akan dikenakan yuran keahlian. Dikatakan yuran tersebut sebagai pelaburan pokok, walhal untuk habuan kepada pengusaha skim ini.
2. Penggandaan wang apabila merekrut ahli.
Mengatakan ada penggandaan wang menerusi kemasukan ahli yang semakin ramai. Semakin besar ahli, semakin besar pendapatan yang bakal diperoleh.
3. Tidak jelas bagaimana sumber pendapatan diperoleh.
Banyak skim ini tidak menceritakan bagaimana sumber pendapatan mereka dijana. Skim-skim ini mengatakan keuntungan adalah hasil penjualan barangan.
4. Penceritaan pengalaman mereka yang sudah menerima habuan dan ganjaran.
Selalunya, mereka ini adalah mereka yang terdahulu sudah masuk ke dalam skim ini. Realitinya, habuan ini daripada wang ahli yang beramai-ramai menyertai kemudiannya.
5. Banyak bercerita tentang pulangan pelaburan yang tinggi.
Skim ini tidak boleh dipanggil pelaburan kerana wang pokok yang dilaburkan ahli bukan “bekerja” untuk mendapat pulangan atau dividen.
6. Pelaburan yang sebenar, dalam konteks saham, akan mendapat pemilikan ekuiti, yang diterbitkan oleh syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Selain saham, pelaburan yang berdaftar memberi setiap ahli risalah pelaburan dan juga penyata kewangan yang diaudit setiap tahun.
Macau Scam
Macau Scam memperdaya mangsa melalui panggilan palsu yang menyamar sebagai anggota polis, pihak bank, atau agensi kerajaan selain menawarkan hadiah kemenangan cabutan bertuah. Dua tahun lepas, sehari sebelum saya menyambut Aidilfitri, gangguan emosi yang dahsyat telah dihadapi oleh diri saya sendiri apabila menerima panggilan bertalu-talu serta SMS daripada Skim Macau. Di daerah Sepang sahaja, PDRM melaporkan 12 kes diterima sejak Januari tahun ini, kebanyakannya adalah dari golongan professional dan pesara.
Antara langkah untuk mengendali Macau Scam adalah:
1. Bertindak rasional dengan tidak melayan sebarang panggilan.
Tidak mudah panik dan bertindak tegas akan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa segera. Tenang dan jangan bertindak mengikut emosi kerana mereka sering kali mengeksplotasi emosi penerima panggilan melalui senario-senario tertentu contohnya seperti; dakwaan penggubahan wang haram, kes langgar lari, penculikan ahli keluarga dan sebagainya.
2. Skeptikal terhadap maklumat yang diberi oleh pemanggil.
Tidak mempercayai sebarang maklumat, walaupun benar seperti nombor IC yang disebutkan oleh pihak pemanggil. Segera semak dengan bank dan pihak berkenaan untuk pengesahan dan aduan. Ini adalah kerana bank jarang berkomunikasi dengan pelanggan melalui telefon dan selalunya melalui mod surat-menyurat.
Gagal Mengawal Emosi Akan Membawa Kepada Tindakan Tidak Rasional
Kebanyakan punca kehilangan wang adalah disebabkan kegagalan mengawal emosi. Menurut Dr Edward Charlesworth, pakar psikologi Amerika Syarikat, wang adalah punca tekanan hidup yang parah. Mereka yang tertekan dengan hutang akan membuat keputusan di luar jangkaan, berfikiran singkat tanpa menimbang akibat sesuatu perkara.
Mereka yang tidak mempunyai keutamaan dalam perancangan kewangan akan cepat berputus asa dan berada dalam keadaan penafian. Menerusi pengamatan saya, mereka akan membuat hutang tanpa henti. Golongan ini boleh mengalami masalah tekanan hidup, rendah keyakinan diri, mempunyai sifat kebendaan melampau dan kemurungan. Penyelesaian bagi golongan ini adalah membeli belah sebagai satu bentuk terapi.
Segala nasihat, idea dan cadangan yang digariskan tidaklah sama kepada setiap individu. Golongan ini boleh mendapatkan nasihat professional untuk mencapai matlamat kewangan sebenar. Usaha ini bukan mudah, dan memerlukan masa untuk seseorang mula belajar langkah pengurusan kewangan yang baik.
Saya merupakan salah seorang perancang kewangan bertauliah, yang bukan sahaja tertakluk memberi produk pelaburan atau perlindungan yang sesuai. Malahan lebih kepada memahami dan membantu sesorang mencapai matlamat kewangannya.
Langkah-langkah tersebut merangkumi bermula daripada analisis aliran tunai, pengurusan hutang, nilai aset-aset setelah ditolak hutang-hutang, kedudukan kewangan, perlindungan diri, harta dan keluarga, pelaburan yang sesuai, pembayaran cukai, perancangan untuk persaraan, dana pendidikan sesuai untuk anak, dan perwarisan harta. Berdasarkan kes yang diterima kami, pegawai bank yang berlatarbelakang pendidikan kewangan juga ramai mendapatkan khidmat nasihat professional untuk mengetahui pendapat kedua, selain daripada pengetahuannya sendiri.
Jika mengagungkan kehidupan selebriti, renungkan contoh di Amerika Syarikat. Menurut Biro Kajian Ekonomi Kebangsaan, hampir 16% pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan telah difailkan status bankrap, hanya selepas 12 tahun bersara. Banyak selebriti mengalami contoh serupa, namun lebih parah adalah atlit.
Contoh realiti terbaik pencapaian kebebasan kewangan atau pelaburan ialah Lesley Scorgie, penulis buku terkenal Rich by Thirty: A Young Adult’s Guide to Financial Success (2007). Beliau dinamakan oleh Oprah Winfrey sebagai seorang wanita di ambang jutawan ketika umurnya mencecah 30 tahun. Lesley telah mengamalkan pelaburan pertamanya di dalam Canada Savings Bond ketika umurnya 10 tahun.
Untuk lebih arif tentang penipuan dan skim cepat kaya ini, di luar sana, carilah seorang mentor atau jurulatih kewangan peribadi serta menambah ilmu di dalam soal kewangan dan pelaburan.
Kongsi bersama kami cerita anda dan komen di bawah jika anda atau kenalan anda pernah terjerat dengan mana-mana penipuan kewangan.
Leave A Comment