Pengurusan kewangan yang berkesan daripada usia muda mampu menjamin masa depan yang lebih stabil.
Kita menggunakan wang ringgit dan kad kredit hampir setiap hari untuk sebarang urusniaga tetapi mengapa apabila bercakap tentang pengurusan kewangan, ia menjadi satu topik yang tidak suka dibincangkan? Pendidikan pengurusan kewangan peribadi juga tidak diajar di sekolah atau institusi pendidikan lalu tiada pendedahan yang menyeluruh tentangnya.
Bagi seorang wanita yang berusia lingkungan umur 20-an, mempunyai kerjaya sendiri dan dengan pelbagai komitmen serta kehendak yang ingin dipenuhi, ia menjadi satu cabaran yang perlu ditangani dengan sebaiknya supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Berikut merupakan 12 tip kewangan berkesan untuk wanita sebelum berusia 30 tahun:
Contents
1. Aplikasi mengurus kewangan
Gunakan aplikasi mengurus kewangan seperti Spendee (Google Play) yang membantu mengesan dan mengira setiap transaksi dan perbelanjaan. Ia juga boleh disambungkan dengan akaun bank peribadi dengan hanya membayar RM50 untuk setahun bagi mendapatkan laporan menyeluruh tentang perbelanjaan peribadi untuk setiap bulan. Kamu juga boleh merangka bajet dan melihat bagaimana perbelanjaan yang dilihat kecil mampu memberikan impak yang besar.
2. Ikuti Peraturan 50-20-30
Bahagikan wang gaji (yang sudah dipotong cukai) kepada tiga kategori iaitu keperluan, gaya hidup dan masa depan. 50 peratus adalah untuk keperluan seperti barangan dapur, utiliti dan kenderaan. Ketepikan 20 peratus untuk simpanan atau tabung persaraan dan selebihnya adalah untuk gaya hidup seperti membeli-belah, melancong, keahlian gim dan lain-lain.
3. Menikmati perkara yang memberi kepuasan diri
Jangan menyeksa diri dengan mengorbankan perkara yang menggembirakan anda seperti membeli buku penulis kegemaran atau makanan yang menyelerakan tetapi berbelanjalah dengan berhemah. Senaraikan barangan atau aktiviti yang dibuat dan kurangkan belanja pada yang paling kurang digemari. Misalnya, jika anda pergi ke gim seminggu sekali sahaja dan lebih suka berlari di luar, mungkin keahlian gim itu bukanlah sesuatu yang begitu penting untuk dibelanjakan.
4. Beri perhatian pada rancangan masa depan
Mungkin kamu merasakan terlalu awal untuk memikirkan tentang rancangan pada umur 60 tahun, tetapi ia adalah satu perancangan yang perlu dibuat seawal mungkin. Menyimpan seawal umur 20-an merupakan satu keputusan yang bijak bagi memastikan masa tua yang lebih selesa. Pastikan anda mempunyai tabung persaraan dan juga aset yang mencukupi.
5. Simpan wang lebihan belanja anda setiap hari
Jadikan satu tabiat untuk menyimpan baki wang belanja setiap hari di dalam tabung fizikal yang boleh diletakkan di dalam bilik, kereta atau di sebelah mesin basuh (ketika mengosongkan wang daripada poket seluar) Walaupun ia mungkin hanya sekadar wang bernilai RM1, tetapi ia mampu menjadi dana kecemasan terutamanya apabila menjelang hujung bulan sebelum menerima gaji bulanan. Misalnya, jika anda menyimpan RM5 setiap hari selama setahun, anda mampu memperoleh RM1,825.
6. Buat simpanan secara automatik
Mengaktifkan simpanan secara automatik sebanyak 15 hingga 20 peratus sebulan mampu memberikan anda lebih kawalan terhadap perbelanjaan diri. Jika ada mempunyai akaun simpanan ASB, aplikasi simpanan secara automatik boleh diaktifkan tanpa perlu risau jika terlupa untuk memindahkan wang.
7. Berbincang dengan pasangan tentang wang
Jika anda berada di dalam perhubungan, amat penting untuk berbincang dengan jujur mengenai kedudukan kewangan isi rumah daripada menyembunyikannya. Sebaiknya, tahu tentang skor kredit, gaji dan juga hutang masing-masing. Jika terdapat masalah kewangan, berusaha untuk mencari penyelesaian yang sebaiknya dengan berbincang secara baik.
8. Sediakan RM1,000 dana kecemasan
Dalam satu artikel yang dipetik dari The Star baru-baru ini telah mengeluarkan satu statistik yang mengejutkan apabila sebahagian daripada rakyat Malaysia atau 52 peratus daripadanya tidak mampu untuk mengeluarkan RM1,000 bagi hal kecemasan. Dana kecemasan ini amat penting bagi memastikan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, kamu sudah mempunyai sekurang-kurang 3 hingga 6 bulan wang simpanan.
9. Tahu skor kredit kamu
Skor kredit memberikan anda penarafan berdasarkan bilangan pinjaman dan kad kredit yang telah diambil dan samada anda membayarnya semula secara konsisten. Ia juga memberikan analisis mendalam tentang semua hutang dan tabiat pembayaran semula serta menyemak jika terlepas sebarang bayaran penting. Sejarah kredit anda disimpan dan dijejak oleh pangkalan data milik Bank Negara Malaysia, dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Rekod ini juga akan menjadi rujukan pihak bank samada anda layak atau tidak untuk mendapatkan pinjaman daripada mereka.
10. Miliki hanya satu kad kredit
Jika perlu, miliki hanya satu kad kredit sahaja yang digunakan untuk urusan kecemasan semasa anda tidak mempunyai sebarang wang tunai di tangan. Jika perlu, batalkan kad-kad lain dan pilih kad kredit yang mempunyai sejarah skor kredit yang paling lama.
11. Sediakan senarai perbelanjaan sebelum meninggalkan rumah atau melayari laman web beli-belah
Buat satu senarai yang mempunyai barangan yang harus dibeli sebelum keluar membeli-belah supaya anda tidak tersasar daripada yang sepatutnya. Jangan mudah terpedaya dengan emel atau tawaran murah dan fikir jika anda benar-benar memerlukannya. Catatkan juga barangan yang perlu dibeli dalam masa terdekat untuk digunakan dan juga barangan yang diinginkan sekian lama
12. Jangan takut untuk meminta kenaikan gaji
Mengikut kajian, 20 peratus wanita dewasa mendedahkan mereka tidak pernah berbincang berkenaan kenaikan gaji walaupun ia merupakan perkara yang relevan. Jika mereka meminta kenaikan, ia juga tidak banyak dan 30 peratus lebih rendah daripada rakan sekerja lelaki. Jangan takut untuk berbincang dengan majikan anda tentangnya, terutama jika anda bekerja dalam tempoh lebih 3 tahun di syarikat yang sama. Terangkan sumbangan dan juga komitmen yang telah anda berikan kepada syarikat selama ini.
Sebagai seorang wanita yang bekerjaya, tidak mudah untuk merancang kewangan dengan berkesan terutamanya apabila sudah mempunyai komitmen dan juga tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Namun, dengan perancangan yang rapi dan awal, ia mampu menjamin masa depan yang lebih cerah dan stabil.
You May Also Like
- Cara Mengatasi Penipuan Kewangan di Malaysia
- 10 Laman Web Kewangan Peribadi Terbaik di Malaysia
- Adakah Anda Pembeli Bijak?
Adakah anda mempunyai kaedah tersendiri untuk mengurus kewangan secara berkesan? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.
Leave A Comment