Status pandemik telahpun diisytiharkan oleh World Health Organization (WHO) terhadap COVID-19 dan sedang mencetuskan huru-hara dalam skala global. Apakah kesan dari krisis pandemik ini terhadap sebuah negara?

Coronavirus adalah dari keluarga virus yang berkait dengan wabak SARS dan MERS yang telah melanda dunia beberapa ketika dahulu. SARS (Severe Acute Respiratory Syndrome) dan MERS (Middle East Respiratory Syndrome) adalah penyakit berkaitan pernafasan dan mempunyai ciri kejangkitan yang tinggi justeru dapat merebak ke seluruh dunia dengan mudah. Jenis virus yang telah melanda dunia telah dikenali sebagai COVID-19 dan simptomnya adalah mengalami masalah pernafasan, batuk dan juga demam. Simptom yang lebih teruk pula jangkitan paru-paru (pneumonia), kegagalan buah pinggan malah ia boleh menyebabkan kematian. COVID-19 amatlah berjangkit dan boleh disebar melalui udara. Jadi, untuk mengurangkan risiko jangkitan, hubungan jarak dekat perlu dielakkan.

Bagaimanakah sesuatu negara hendak bertindak melawan pandemik COVID-19 dari segi ekonomi dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan impak virus ini?

Bisnes dan Sumber Manusia

Sesebuah negara semestinya bergantung kepada sumber manusia untuk membangunkan hasil dan menaik taraf hidup rakyat.

Antara kesan yang tidak diingini untuk bisnes termasuk terpaksa memberhentikan kerja seharian disebabkan kuarantin. Jika perkara ini berterusan, ia akan mendatangkan kerugian kepada sesebuah bisnes kerana pengurangan produktiviti, kos utiliti, kos perubatan/saringan, gaji kepada staf yang tidak bekerja dan lain-lain. Jika premis dibenarkan untuk meneruskan bisnes, akan ada kawalan yang lebih tegas terhadap prosedur kebersihan, penggantian pekerja jika diperlukan, latihan kerja dan kos untuk meneruskan kerja tertangguh.

Oleh itu, COVID-19 ini perlu ditangani oleh pihak di dalam bisnes untuk mengelakkan berlakunya letusan wabak di pejabat atau premis mereka dan secara langsung, mengurangkan impak buruk terhadap ekonoi negara. Antaranya:

  • Regimen kebersihan yang tegas dan menyeluruh
  • Menawarkan pekerja pilihan untuk bekerja dari rumah untuk mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja
  • Menyekat perjalanan
  • Menilai semula polisi insurans perubatan pekerja
  • Melatih tabiat kebersihan pekerja
  • Mengajar mod penyebaran virus dan pemahaman terhadap wabak
  • Menyediakan pekerja dengan peralatan keselamatan jika perlu (topeng muka, sarung tangan)
  • Pemasangan kamera haba di tempat masuk premis
  • Memperoleh data setiap pekerja mengenai sejarah perjalanan dan pendedahan terhadap suspek penyakit COVID-19
  • Siap sediakan kaedah dan prosedur kuarantin kepada pekerja bergantung kepada kadar risiko mereka
  • Mengawal perhimpunan orang ramai dari berlangsung
  • Menyediakan zon premis fizikal khas yang mengikut syif untuk mengawal proses kuarantin di tempat kerja
  • Menaiktaraf infrastruktur teknologi untuk tujuan telekomunikasi
  • Menggalakkan penggunaan teknologi teleconferencing iaitu mesyuarat dalam talian
  • Perhubungan yang jelas antara pekerja supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi apa-apa situasi pandemik
  • Bersedia untuk menghadapi kawalan pergerakan dan penutupan premis perniagaan termasuklah mengenal pasti apa yang perlu dan apa langkah seterusnya

Senarai di atas boleh diteruskan tanpa henti tetapi masalah sebenar adalah persediaan ini memerlukan sumber sama ada wang atau pekerja yang boleh diletakkan dalam perkembangan bisnes. Namun, langkah ini perlu dilakukan untuk memastikan bisnes dapat dilindungi walaupun di waktu krisis. Tambahan pula, bakat dan tenaga pekerja mahir dapat dikekalkan di dalam syarikat walaupun proses ini memakan sumber kewangan dalam jangka masa pendek.

Sementara syarikat atau bisnes lebih fokus kepada langkah-langkah kemandirian, apakah perspektif sesebuah negara terhadap krisis ini?

Tidak terkejut untuk menyatakan bahawa proses ini sama sahaja untuk sesebuah negara seperti bisnes  tetapi dalam skala yang lebih besar. Di pada masa bisnes ingin melindungi pekerja mereka yang umpama nadi perkembangan bisnes tersebut, negara pula ingin melindungi rakyat mereka untuk sebab yang sama. Potensi perkembangan negara bergantung kepada pertumbuhan populasi dan perkembangan sumber manusia. Oleh itu, kerajaan berinsentif untuk mengambil langkah proaktif dalam memberikan pendidikan terhadap kesihatan kepada rakyat. Mengambil langkah drastik seperti perintah kuarantin seluruh negara juga perlu supaya kadar jangkitan wabak ini dapat distabilkan.

Infrastruktur dan Servis Perubatan

Sistem perubatan sebuah negara direka untuk menampung permintaan populasi negara tersebut tetapi mungkin akan adanya had dari segi servis dan kapasiti. Jadi, negara perlu seimbangkan kos penyelenggaraan sistem sedia ada yang menyeluruh untuk memuatkan kebanyakan rakyat di samping memberi servis penjagaan yang sesuai untuk sesetengah golongan yang memerlukan rawatan rapi.

Perkara ini akan berubah apabila berlakunya wabak penyakit, Dengan kenaikan jumlah pesakit, sistem di dalam hospital akan mengalami sekatan terutamanya wabak seperti COVID-19. Kita akan lihat kemasukan pesakit yang memerlukan khidmat perubatan segera, servis diagnostik dan permintaan tinggi untuk menjejaki sejarah pesakit (contact tracing). Ubat dan peralatan khas perlu dibawa masuk dengan segera. Staf hospital perlu dilengkapkan dan dilatih untuk mengatasi masalah di skala besar yang di luar norma. Servis perubatan perlu diutamakan kepada pesakit yang lebih memerlukan dan ini termasuk golongan kritikal yang tidak dijangkiti COVID-19.

Fasiliti perubatan yang tercemar mampu menyebabkan ia tidak dapat digunakan ataupun menjadi sumber wabak baru. Jadi, staf yang terlibat dalam hal kebersihan juga perlu dikerahkan untuk membasmi perkara ini dari terjadi.

Pembinaan fasiliti perubatan baru pula akan memakan jumlah wang yang banyak dari pembayar cukai. Doktor tambahan, staf perubatan dan keselamatan pula perlu ditambah bagi tujuan mengawal penyebaran wabak. Ini termasuk mengawal pesakit yang tidak akur terhadap kuarantin seperti yang telah berlaku.

Pegawai perubatan dari kementerian kesihatan di seluruh negara juga telah mengenal pasti hospital untuk menangani suspek dan pesakit yang telah disahkan. Fasiliti sebegini bertujuan untuk mengelakkan pesakit daripada berhubung dengan dunia luar secara fizikal dan mengawal sumber penyebaran. Mereka juga akan dikawal dengan anggota keselamatan bersenjata demi keselamatan mereka dan orang ramai.

Orang ramai dan fasiliti perubatan swasta perlu diisukan dengan panduan yang jelas dan tegas dalam pengesanan, pengawalan dan pengurusan pesakit yang berpotensi membawa virus ini.

Di media sosial dan aplikasi telekomunikasi, kerajaan serta syarikat swasta sedang melakukan tindakan pengawalan penyebaran berita palsu dan paranoia yang berpunca dari sesetengah individu tidak bertanggungjawab. Contohnya, Youtube akan menyertakan mesej dan link ke video dari laman web WHO yang sah tentang pandemik COVID-19.

Industri Pelancongan dan Polisi Negara

Pertahanan sesebuah negara bermula dengan sempadan. Dengan mengehadkan kemasukan dan meningkatkan kawalan keselamatan bagi setiap individu yang merentas sempadan, penyebaran wabak dapat dikurangkan di dalam dan luar negara. Setiap pelawat perlu memilih sama ada untuk melalui proses pengesanan dan kuarantin ataupun pulang ke negara asal. Jadi, ini akan menghindar pelancong dari mengunjungi negara sedemikian tambahan pula apabila adanya kawalan pergerakan atau perintah berkurung. Apabila berlakunya krisis sebegini, bagaimana pula dengan negara yang bergantung kepada sektor pelancongan?

Mari kita lihat cara negara Malaysia mengambil langkah untuk membendung perkara ini:

  • Melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 untuk menstabilkan kejatuhan kadar ketibaan pelancong dan industri berkaitan
    • Pertama, pakej ini bertujuan untuk membantu aliran tunai bisnes dan individu yang terjejas seperti operator hotel, pemandu teksi dan pemandu pelancong.
    • Kedua, kerajaan berharap agar rakyat tempatan dapat menyumbang kepada sektor pelancongan tempatan mengimbangkan kadar kejatuhan pelancong luar.
  • Malaysia juga telah melakukan analisa semula terhadap kadar anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 3.2% hingga 4.2% untuk memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap situasi ini.
  • Pakej rangsangan ini mungkin menyebabkan defisit fiskal negara meningkat kepada 3.4% dari KDNK berbanding 3.2% sebelumnya.

Konklusi

Dengan kadar jangkitan COVID-19 yang lebih besar dari yang disangka dan pengisytiharan pandemik oleh WHO, semua negara sedang bergelut dengan krisis ini dan negara yang bersedia untuk jangka masa panjang sahaja yang akan mampu menangani masalah ini dengan cekap. Sesetengah negara telah meletakkan kepentingan negaranya untuk menjaga ekonomi kerana mereka tahu jika mereka menangguhkan sebarang langkah yang proaktif, mereka tidak dapat selamat. Pelabur luar dan pasaran saham juga akan jatuh menjunam. Kita semua mempunyai tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk menjaga keselamatan negara. Dengan mengehadkan pergerakan, secara tidak langsung kita menyumbang kepada kebaikan sejagat dan mampu bertahan sebagai negara yang aman.

 

You May Also Like

 

Apakah pandangan anda mengenai keadaan semasa wabak COVID-19? Kongsi bersama kami dan komen di bawah.