Dengan ekonomi global yang semakin meruncing ini, anda perlu berjaga-jaga dan ambil langkah penting untuk belajar tentang pelaburan saham dan pasaran kewangan tambahan pula di era pandemik. (Original article in English)
Memandangkan pasaran kewangan telahpun dijangkiti dengan impak COVID-19, pasaran saham pun turut sama mengalami nasib yang sama. Indeks saham 500 syarikat yang lebih dikenali sebagai Standard & Poor telahpun turun sebanyak 34% dalam masa sebulan pada Mac lalu berbanding dengan nilai tertingginya.
Anda mungkin menghadapi senario yang sama jika anda mengikuti berita berkaitan kewangan di Malaysia dan saban hari membaca tentang apa yang terjadi pada Bursa Malaysia.
Sebelum anda berpisah dengan wang hasil usaha keras anda pada tahun 2020 ini, ketahui dahulu perkara asas tentang pelaburan saham dan dapatkan idea serta teknik yang boleh membantu mengurangkan risiko anda kehilangan wang.
Contents
Jangan panik dengan naik turun pasaran
Jika pasaran makin rancak dengan naik turunnya, pelabur mungkin akan bertindak dengan panik dan membuat spekulasi. Untuk kes sebegini, penting untuk anda tidak terkesan dengan sentimen pasaran dan akibatnya membuatkan anda bertindak secara tidak rasional. Pelabur boleh memilih untuk menambah pegangan saham di waktu murah dan tidak menjual saham anda dalam keadaan panik. Gunakan keadaan ini sebagai kekuatan anda.
Terdapat pelbagai sebab kenapa pelabur membuat keputusan. Jika anda mempunyai sebab yang munasabah dan telahpun mengkaji syarikat tersebut secara terperinci dan selesa dengan pegangan anda, maka sila teruskan. Tetapi jika anda teragak-agak atau kurang pasti akan sesuatu, sila rujuk kepada penasihat kewangan yang bertauliah.
Ingat. Naik turun pasaran adalah normal dan hanya untuk jangka masa pendek. Yang penting adalah anda tidak bertukar fikiran akan strategi jangka masa panjang anda.
Jangan beli sesuatu saham jika anda tidak boleh pegang lebih dari tiga tahun
Sebagai respons kepada harga yang makin menjunam, anda tambah pegangan saham anda dan kemudian anda dapati harga saham tersebut terus jatuh. Ini adalah senario biasa dan sebelum itu, anda perlulah memastikan bahawa anda boleh memegang saham tersebut sekurang-kurangnya tiga tahun untuk ia kembali ke paras normal. Anda mungkin berasakan anda perlu “keluar” secepat mungkin (disebabkan perasaan panik atau dikenakan “margin call“). Secara asasnya, anda tidak sepatutnya membuat keputusan di ketika pasaran saham di tempoh panik sekiranya anda hidup kais pagi makan pagi atau tidak mempunyai mentaliti yang betul iaitu dengan bertahan selama 3 tahun.
Saham mempunyai potensi untuk memberikan kadar pulangan yang tinggi tetapi semua itu hanya akan direalisasikan dengan mentaliti yang betul dan kesabaran yang tinggi.
Jangan mudah tertarik dengan harga yang murah
Melabur ke dalam pasaran saham amat tidak digalakkan jika anda melabur hanya kerana “pasaran turun banyak” atau “harga sekarang tengah rendah”. Ini adalah kerana ketidaktentuan pasaran saham di masa akan datang dan harga yang rendah mungkin akan kekal rendah malah mampu turun lagi. Tiada jaminan bahawa harga saham akan naik atau turun.
Anda perlu membuat kajian sendiri tentang asas sesuatu syarikat dan sahamnya serta rekod-rekod lama. Lihat akan faktor seperti pertumbuhan jualan, batas untung (profit margin), harga earnings, debt-to-equity ratio, dan lain-lain lagi serta potensi industri tersebut bagi masa akan datang. Jika saham tersebut mempunyai rekod risiko dan naik turun yang mendadak, lebih baik untuk anda tinggalkan syarikat tersebut.
Teknologi mampu menguatkan portfolio anda
Contohnya, Microsoft ($MSFT, $214) mempunyai sebanyak $134-bilion dalam bentuk tunai atau pelaburan jangka masa pendek pada hujung tahun 2019. Ianya lebih daripada cukup untuk menampung kejatuhan ekonomi, kata penganalisa CFRA, John Freeman.
Sistem operasi Windows, Microsoft, kini digunakan pada lebih 80% komputer di dunia. Walaupun begitu, masa depan firma ini terletak pada bisnes cloud yang semakin memberangsangkan. Pada hujung tahun 2019, ia menyalurkan sebanyak 50% daripada jualan Microsoft. Sebahagian daripada bisnes tersebut, servis cloud Azure yang ditawarkan oleh Microsoft berkembang dengan lebih pantas berbanding servis AWS oleh Amazon yang kini masih di tangga pertama.
Pakar berpendapat bahawa jualan akan berkembang di masa tiga tahun akan datang dengan kadar sebanyak belasan.
Servis bayaran mungkin akan mendapat lebih perhatian
Pandemik ini walaupun memberi musibah bagi kebanyakan orang, ia memberikan kelebihan kepada servis pembayaran elektronik dan mempercepatkan trend dunia untuk menerima bayaran dalam talian. Sebelum wabak ini melanda, pakar menjangka bahawa jumlah pembayaran elektronik akan meningkat sebanyak 14% pada tahun 2022. Sebagai contoh, servis pembayaran VISA sangatlah meluas sehingga ke negara membangun. Jadi, ini memberi kelebihan terutama terhadap pesaing lain jika mereka ingin ke arah pembayaran dalam talian.
Namun memandangkan makin kurang orang berbelanja ketika kegawatan ekonomi, saham VISA turut sama jatuh tempoh hari kerana dalam jangka masa pendek, jualan dan keuntungan menurun – secara langsung memberikan peluang kepada pelabur yang mempunyai visi jangka masa panjang. Saham VISA jatuh sebanyak 20% daripada harga tertinggi pada bulan Februari. Selepas harga terendah pada Mac lepas, harga telah pulih kepada harga asal.
Tidak mengapa jika pelaburan tidak menjadi
Gagal merancang, merancang kegagalan. Betul. Lebih mudah jika anda merancang ketika pasaran stabil. Kebanyakan orang akan gusar dengan keadaan pasaran saham yang tidak menentu. Anda perlu menerima kenyataan bahawa walaupun anda sudah membuat kajian terperinci, menjaga kadar risiko anda dan membuat semua pelan lain, anda masih mempunyai peluang untuk gagal. Anda akan terlantar dengan soalan-soalan berbaur kekesalan seperti, “Patutkah aku jual semua tadi?” atau “Semalam sebab apa la aku tak beli?”.
Objektif sebenar bukannya untuk menjadi “ahli nujum” terbaik dengan membuat semua keputusan dengan betul. Malah pakar pun tak mampu berbuat sedemikian. Apa yang penting adalah dalam jangka masa panjang, anda dapat menambahkan nilai ilmu anda dan secara langsung, wang anda juga.
You May Also Like
- Hartanah: Sewa Atau Beli?
- 6 Langkah Merangka Pelan Kewangan Keluarga
- Dana Dagangan Saham: Instrumen Pelaburan di Bursa
Apakah prinsip anda ketika melabur saham? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.
Leave A Comment