Adakah anda merasakan semakin susah untuk bersara saban tahun? Ketahui mengapa anda berasakan susah untuk bersara dari segi kewangan dan mengapa anda perlu merancang dari sekarang. (Original post in English)

Topik tentang persaraan selalunya datang apabila kita sudah berusia kerana kita tidak tahu sama ada kita masih boleh bekerja kelak. Perspektif normal terhadap persaraan adalah di mana kita melihat kita bersandar di bangku tanpa memikirkan kerja sambil menikmati kehidupan harian.

Namun, ramai orang mendapati bahawa untuk mencapai status pesara itu semakin susah dengan ketidakpastian di masa depan. Adakah wang cukup untuk bersara? Adakah pelan persaraan ini boleh menampung gaya hidup terdahulu? Apakah umur yang ideal untuk bersara?

Semua ketidakpastian ini adalah normal terutamanya apabila kita ingin memberikan keselamatan dan keselesaan yang optimum untuk diri kita sendiri supaya tidak membebankan orang lain kelak. Namun, jangan biarkan perasaan takut dan cemas membuatkan anda tidak memikirkan langsung tentang perancangan persaraan kerana masa terbaik untuk bermula merancang adalah sekarang.

Untuk mengurangkan perasaan takut ini serta membuatkan anda lebih yakin tentang masa depan, kami ingin menyatakan 5 sebab mengapa status persaraan semakin susah untuk dicapai dari segi kewangan dan bagaimana anda boleh merancang.

Sebab #1: Kita semakin sihat dan juga…semakin tua

Di seluruh dunia, jangka hayat meningkat selari dengan pembangunan dalam bidang teknologi perubatan yang membantu semua orang mendapatkan rawatan yang diperlukan serta mengubati penyakit yang sebelum ini mampu meragut nyawa.

Rakyat Malaysia turut mengikuti pembangunan ini. Ini adalah kerana Malaysia mempunyai antara sistem perubatan terbaik di dunia. Malaysia berada di tempat pertama dalam kategori sistem perubatan dalam International Living Annual Global Retirement Index 2019.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), rakyat Malaysia dijangka hidup sehingga umur 72.2 tahun pada tahun 2000. Pada tahun 2019 pula, kita dijangka hidup sehingga umur 74.5 tahun. Di masa depan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjangka rakyat Malaysia untuk hidup sehingga umur 79 tahun pada tahun 2040.

Berita baik ini diseling dengan khabar buruk kerana lebih lama jangka hayat kita, lebih banyak masa yang perlu dibajetkan untuk persaraan jadi kita perlukan lebih banyak wang untuk perkara asas seperti makanan, air dan tempat tinggal. Jadi, persaraan semakin susah kerana kita memerlukan lebih banyak wang daripada pesara sekarang.

 

Sebab #2: Kos sara hidup sudahpun di paras yang tinggi sekarang dan akan meningkat di masa akan datang

Realitinya, kini ramai yang bergelut untuk membayar bil. Kita perlu bayar bukan sahaja bil elektrik tetapi untuk rumah, pakaian, telefon, air dan senarai ini semakin panjang hari demi hari.

Apabila kita sudahpun bergelut untuk membayar hutang sekarang, amatlah susah untuk kita memikirkan tentang persaraan di masa akan datang. Walaupun kita ingin merancang, situasi semasa tidak mengizinkan dengan kekurangan simpanan malah kita sendiri pun tidak pasti berapa yang diperlukan untuk bayaran ketika persaraan nanti.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), purata pendapatan isi rumah adalah RM 5,873 sebulan dan perbelanjaan sebanyak RM 3,654 sebulan. Dengan pendapatan sebanyak RM 5,873 ini, mengikut payroll.my, sebanyak RM 844 diletakkan sebagai cukai pendapatan, KWSP dan PERKESO. Terdapat dua perkara yang boleh diperolehi daripada data tersebut:

  • Susah untuk mencari pendapatan lebihan untuk tujuan simpanan atau pelaburan.
  • Seseorang yang di dalam keadaan berikut boleh mengambil kira sekurang-kurangnya RM 3,654 sebulan untuk tujuan pembiayaan persaraan sehingga akhir jangka hayat, tanpa inflasi.

Mengapa kita semua perlu lebih banyak menabung dan melabur untuk bersara? Kebanyakan orang hanya percaya bahawa simpanan di KWSP yang ditolak setiap bulan itu mampu menampung perbelanjaan di usia tua mereka. Namun, laporan KWSP sendiri mengatakan bahawa 7 daripada 10 orang ahlinya yang berumur 54 tahun perlu hidup dengan hanya RM 210 sebulan sehingga umur 75 tahun dan lebih teruk lagi, kebanyakannya habiskan simpanan ini dalam masa 2 tahun sahaja!

Sekarang, bandingkan pula dengan RM 3,654 sebulan dengan RM 210 sebulan. Data yang mengejutkan!

Malah, KWSP sendiri juga melaporkan bahawa 68% daripada ahlinya tidak mempunyai simpanan asas untuk persaraan. Nisbahnya, kita perlu mencari jalan untuk menyimpan dan melabur untuk persaraan kita dan tidak seratus peratus berharap pada simpanan KWSP tambahan lagi dengan kadar kenaikan kos sara hidup kini.

Sebab #3: Gaji tidak bertambah dengan pesat seperti dahulu

Memantau perbelanjaan adalah langkah penting untuk ke arah persaraan tetapi kita juga perlu memberi perhatian terhadap paras pendapatan. Penting untuk kita tahu bahawa sementara kita boleh mengurangkan perbelanjaan, kita juga perlu menambahkan pendapatan supaya kita boleh bersara di masa hadapan.

Kita selalu mendengar bibit-bibit bahawa gaji sekarang makin murah untuk kerja yang dilakukan tetapi rendah mana sebenarnya? Adakah purata gaji kita berkembang seperti biasa?

Mengikut Survey Pendapatan dan Perbelanjaan Isirumah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), sejak tahun 2009 hingga 2019, purata pendapatan dilihat sebagai berkembang secara perlahan.

Dari tahun 2009 hingga 2014 pula, median pendapatan isirumah berkembang sebanyak 10% setiap tahun dari RM 2,841 sebulan kepada RM 4,585 sebulan. Bila dibandingkan untuk tahun 2014 hingga 2019, pendapatan isirumah berkembang dengan lebih perlahan sebanyak 5.1% dari RM 4,585 sebulan kepada RM 5,873 sebulan.

Memandangkan pertumbuhan gaji saban tahun semakin perlahan, maka lebih susahlah untuk rakyat Malaysia mencapai status pesara bagi pekerja sekarang berbanding dengan pekerja terdahulu.

Sebab #4: Lebih banyak komitmen

Purata jangka hayat meningkat dan begitu juga dengan pelan bagaimana kita mahu mengisi tempoh persaraan kita. Ramai yang memikirkan tentang rumah baru atau kereta baru. Semua “hutang” baru ini akan menambah lagi beban kepada perbelanjaan persaraan anda.

Dengan kos sara hidup ynag meningkat, ramai ibu bapa yang memikirkan tentang anak-anak mereka dan berasa bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka sama ada yang masih kecil ataupun yang sudah dewasa.

Antara kerisauan besar ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah:

  • Kenaikan harga rumah yang akan menjadikan rumah makin susah untuk dimiliki generasi akan datang
  • Kos pendidikan yang mahal
  • Pentingnya insurans untuk anak-anak

Dengan semua komitmen ini, tak terkejutlah makin ramai yang menanggung hutang. Bank Negara Malaysia memberi laporan bahawa kita memang dibelenggu hutang dengan kos perumahan yang mahal sebagai dalang masalah ini.

Sebab #5: Makin kurang orang mencarum untuk persaraan

Apa yang kita faham tentang KWSP dan Private Retirement Scheme (PRS) adalah mereka memerlukan rakyat untuk kekal bekerja dan mencarum untuk mereka dengan jumlah yang banyak. Mereka mengambil wang ini dan melabur ke dalam pelaburan seperti ekuiti, bon dan lain-lain. Apabila anda sampai ke umur tertentu, anda boleh mengambil semula wang ini dengan pulangan yang dijanjikan.

Namun begitu, data menunjukkan bahawa kadar kelahiran di Malaysia menurun dan rakyat makin tua.

  1. Data daripada JPM mengatakan bahawa kadar pertumbuhan populasi di Malaysia berkembang dengan lebih perlahan dengan purata 1.6% setahun dari tahun 2010 hingga 2018 berbanding purata 2.4% setahun dari tahun 1970 hingga 2010.
  2. Peratusan rakyat Malaysia berumur atas 60 tahun dijangka meningkat dari 10.3% hingga 19.8% pada tahun 2040.

Asasnya, manfaat pesara disumbang oleh caruman berterusan daripada pekerja. Dengan jumlah pekerja yang semakin kurang, maka lebih susah untuk dana persaraan ini untuk membuat keuntungan (dengan jumlah kos yang sama) untuk menyara bakal pesara kelak.

Apa yang Anda Boleh Lakukan

Persaraan semestinya semakin susah untuk kita di masa kini. Kos sara hidup juga makin meningkat dengan mendadak yang membuatkan kita memerlukan lebih wang di masa akan datang. Ramai yang tidak mencarum atau menyimpan untuk pesaraan dan ini akan mendatangkan masalah.

Tapi, jangan risau kerana ada inisiatif untuk mengelakkan perkara ini seperti:

Jika anda merasakan perkara di atas susah untuk dilakukan, anda mungkin perlukan bantuan dari pihak professional. Dengan menggunakan khidmat perancang kewangan bertauliah, anda boleh faham dengan lebih jelas tentang apa yang diperlukan untuk bersara dan langkah-langkah yang relevan. Matlamat anda akan lebih jelas dan lebih mudah untuk dirancang.

Hanya kerana keadaan kini lebih susah tidak bermakna ia mustahil. Mula dengan perancangan persaraan anda sekarang dan buat!

 

Daftar keahlian MyPF dan berhubung dengan perancang kewangan bertauliah.

 

You May Also Like

 

Pernahkah anda terdetik untuk memikirkan tentang persaraan? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.