Pernahkah anda memikirkan apa yang perlu anda titik beratkan dalam persoalan pendidikan anak-anak anda? Ketahui di sini tentang apa yang patut dirancang dan bagaimana anda patut merancang. (Original article in English)

Apabila masuk sahaja topik bagaimana anda patut membiayai pendidikan anak-anak, selalunya ia tidak akan bermula dengan tenang. Tambahan pula apabila dibebani dengan hidup saban hari yang perlu diseimbangkan antara kehidupan berkeluarga dan bekerja. Dapatkah anda bayangkan stres ini ditambah dengan masa depan anak-anak anda lagi?

Jika anda stres, jangan risau. Ini bermaksud anda mahukan yang terbaik untuk anak-anak anda. Semua ibu bapa akan berfikir sedemikian sama seperti semua generasi mahukan generasi seterusnya lebih berjaya dari mereka.

Cara yang paling berkesan dan telahpun digunakan adalah melalui pendidikan. Kini, hampir semua generasi millenial mempunyai sarjana muda. Jauh dari generasi sebelumnya yang kebanyakannya mempunyai pendidikan sehingga habis peringkat sekolah menengah, SPM.

Jadi, ianya penting untuk anda merencana pelan kewangan untuk memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak anda. Ketahui perkara yang perlu diambil berat seperti berikut.

Perkara #1: Berapakah jumlah pendapatan anda sekarang dan anggaran di masa depan?

Ia penting untuk mengambil kira pendapatan anda dan apa yang akan anda perolehi di masa akan datang.

Untuk kebanyakan rakyat Malaysia yang berada di kelompok pendapatan B40 dan M40, anda perlu merancang sekitar pendapatan anda untuk memastikan pendidikan mana yang sesuai untuk anak-anak anda.

Kos pendidikan di Malaysia pula makin mahal setiap tahun. Anggaran kini adalah di sekitar harga RM 38,000 setahun untuk universiti dan ibu bapa membelanjakan lebih dari setengah tahun purata gaji hanya untuk membiayai pendidikan mereka.

Namun, anda tidak boleh merancang secara tepat pendapatan and di masa akan datang. Jika kais pagi makan pagi pula, bagaimana nak fikir tentang masa depan?

Stres ini ditambah dengan pilihan karier anda awal dahulu. Bukan semua pekerjaan dibayar sama rata dan jika anda berada di dalam takuk pendapatan yang tidak dibayar lumayan, susah untuk anda keluar dari kepompong tersebut.

Untuk membuat penganggaran  yang tepat, tanya diri anda berapa pendapatan anda 5 tahun dahulu dan bandingkan dengan sekarang.

Contohnya, jika anda memperoleh RM 3,000 sebulan lima tahun lepas berbanding dengan RM 4,000 sekarang, gaji anda telah berkembang sebanyak 5.9%. Anda boleh periksa berapa gaji anda berkembang menggunakan kalkulator ini dan penuhkan butiran di situ.

Kemudian, anda boleh gunakan kadar ini untuk membuat anggaran masa akan datang. Contohnya, mengikut anggaran daripada kadar di atas, gaji anda akan berkembang 5.9% setiap tahun iaitu kepada RM 5,328 tahun hadapan.

Jika anda tidak selesa menggunakan gaji anda sendiri, anda boleh menggunakan data luar untuk tujuan penganggaran. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), median pendapatan isi rumah berkembang daripada RM 4,538 sebulan pada tahun 2014 kepada RM 5,873 sebulan pada tahun 2019 iaitu dengan kadar perkembangan sebanyak 5.1% setiap tahun.

Tidak kira berapa banyak pendapatan anda, apa yang penting adalah anda kekal realistik tentang prospek pendapatan anda dan mula merancang di situ. Gerak ke hadapan dengan nasihat perancang kewangan bertauliah untuk langkah pertama ke arah pendidikan anak-anak anda.

Perkara #2: Apa minat anak anda?

Ini mungkin topik yang sukar untuk dibincangkan bersama anak anda tentang apa yang mereka ingin jadikan karier di masa depan.

Anda juga mahukan sesuatu yang realistik yang boleh menjana pendapatan bagi mereka dan keluarga mereka kelak.

Cara yang sama juga dengan anggaran pendapatan anda di masa akan datang, penting untuk anda bincang dari awal apa yang mereka mahukan. Ini adalah kerana kos pendidikan berbeza mengikut laluan karier. Ijazah keusahawanan tidak sama dengan ijazah perubatan.

Mengikut laporan daripada Education Malaysia tentang kos pendidikan, ia boleh merangkumi semurah RM 24,360 kepada RM 697,305 untuk ijazah di Malaysia.

Ijazah yang bernilai RM 24,360 sudahpun mahal. Bayangkan pula ijazah yang berharga lebih dari RM 50,000 atau RM 100,000 untuk 2 atau 3 orang anak anda. Jadi, amat penting untuk anda berbincang terlebih dahulu bersama anak anda tentang apa yang mereka mahukan dalam hidup.

Situasi ini ditambah lagi dengan keadaan pasaran pekerjaan yang semakin meruncing dengan semua pekerjaan memerlukan sekurang-kurangnya ijazah. Ini memburukkan lagi keadaan isi rumah B40. Kebanyakan syarikat kini memerlukan sekurang-kurangnya ijazah untuk tujuan permohonan awal. Namun, bagi golongan B40, ada di antara mereka yang sudahpun keluar dari sekolah menengah untuk menampung keluarga.

Anda juga perlu ambil kira tempoh masa pendidikan di universiti. Ijazah perubatan memerlukan sekurang-kurangnya 5 tahun di Malaysia manakala ijazah bisnes memerlukan 3 hingga 4 tahun. Bergantung kepada tempoh pendidikan ini, anda perlu merancang aliran tunai di waktu berikut kerana komitmen akan bertambah.

Bincang dengan anak anda sekarang dan bekerjasama dengan mereka untuk membantu mereka capai impian. Dapatkan penasihat pendidikan dan ketahui pilihan mana yang sesuai untuk anak anda.

Perkara #3: Laluan pendidikan anak anda

Selepas mengambil kira anggaran pendapatan anda dan minat anak anda, langkah seterusnya adalah merangka perjalanan pembelajaran mereka.

Tanya diri anda soalan berikut sebelum anda merancang:

  • Berapa jumlah yang anda mampu dan patutkah anda biayai keseluruhan fasa pendidikan mereka dari tadika hingga universiti?
  • Dengan mengambil kira pendapatan anda, mana yang lebih baik; laluan pendidikan melalui awam atau swasta?
  • Pentingkah untuk mereka memperoleh pendedahan luar negara?

Untuk majoriti rakyat Malaysia, anda terikat dengan komitmen kewangan lain seperti rumah, kereta, insurans dan lain-lain lagi. Pendidikan anak anda juga adalah komitmen yang besar kepada anda dan akan mempengaruhi perkembangan mereka kelak.

Anda juga tentu mahu meletakkan wang yang cukup untuk mereka mengharungi alam persekolahan dari tadika hingga universiti dengan pendidikan terbaik. Perkara pertama yang perlu anda hadam adalah kos pendidikan selalunya selari dengan tahap pendidikan.

Walaupun ianya bagus untuk anda mencarum sebanyak mungkin ke dalam pendidikan anak anda, jika anda tidak pasti akan berapa jumlah pendapatan yang patut anda letak, anda boleh rujuk kepada Survey Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia daripada Jabatan Perangkaan Malaysia sebagai contoh.

Secara purata, isirumah di Malaysia membelanjakan sebanyak RM 70 sebulan iaitu RM 840 setahun untuk pendidikan. Jumlah yang dibelanjakan untuk pendidikan sedang meningkat saban tahun di mana pada tahun 2010, secara purata, isirumah berbelanja sebanyak RM 372 setiap tahun.

Soalan tentang mana yang lebih baik; universiti awam atau swasta, bergantung kepada mana yang anda lebih utamakan. Kos atau kualiti? Pendidikan awam lebih dianggap mampu milik berbanding swasta yang mempunyai kos yang lebh tinggi.

Kualiti yang ditawarkan juga berbeza. Saiz kelas lebih besar di universiti awam manakala universiti swasta mempunyai kelas yang kecil. Laporan daripada National Education Policy Centre dari University of Colorado telah mendepankan hipotesis bahawa saiz kelas yang besar boleh mengancam prestasi pelajar dan skor peperiksaan mereka.

Namun, anda tidak seharusnya melihat hanya berdasarkan “kualiti” yang ditawarkan tetapi apa nilai setiap pusat pendidikan tersebut yang boleh diberikan untuk perkembangan anak anda. Di Malaysia, antara pelajar terbaik datang daripada sistem pendidikan am. Aina Zainatul Zakirah Ismail adalah pelajar terbaik Sabah untuk SPM 2019 dan beliau datang daripada SMK Agama Kota Kinabalu. Beliau juga adalah salah satu daripada dua pelajar dari Malaysia yang sedang menjalani program pertukaran di Arkansas, Amerika Syarikat.

Walaupun belajar di luar negara pernah menjadi simbol status kepada isirumah yang lebih berada, kini lebih banyak universiti menawarkan pilhan twinning kepada pelajar. Ini bermakna mereka boleh memilih untuk belajar di Malaysia selama 1 hingga 2 tahun dan melengkapkan selebihnya di luar negara.

Pilihan ini boleh membantu anda dari segi kos dan dalam membuat pilihan kerana pengalaman luar negara boleh memberikan perspektif berbeza kepada anak anda.

Perkara #4: Dana pendidikan

Semua perkara di atas mungkin akan membawa kepada topik bagaimana untuk membiayai atau melabur untuk pendidikan anak anda.

Jika anda rasa anda perlu sediakan sejumlah wang sendiri, anda silap. Banyak sumber di luar sana yang boleh anda gunakan untuk pendidikan iaitu biasiswa dan hutang pendidikan.

Untuk biasiswa, anda boleh menggunakan syarikat atau institusi berikut:

Anda juga boleh meneroka hutang pelajaran seperti PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau National Higher Education Fund) yang menawarkan kadar faedah yang menarik. Secara amnya, hutang PTPTN adalah lebih rendah daripada kadar pasaran hingga boleh mencecah serendah 1%. PTPTPN diasaskan untuk membantu rakyat Malaysia berpendapatan rendah.

Namun, ianya lebih baik jika anda mula menyimpan dan melabur wang anda sekarang untuk tujuan pendidikan mereka kelak. Menteri Pengajian Tinggi kini mempunyai program dana pendidikan yang dipanggil SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Anda tidak boleh merancang simpanan dan pelaburan anda untuk anak-anak anda tanpa mengambil kira komitmen kewangan lain. Anda boleh mula dengan mendapatkan nasihat kewangan professional sekarang untuk lebih bersiap sedia untuk pendidikan anak-anak anda.

Untuk masa sekarang, anda juga boleh bincang mengenai perjanjian mengenai siapa yang perlu membiayai pengajian tinggi. Anda mungkin mempunyai pendapat lain jika anda mahu mengajar komitmen kewangan kepada anak-anak anda.

Konklusi

Bukan senang untuk merangka perjalanan hidup mereka dan semestinya anda mahu yang terbaik. Daripada segi kos dan apa minat mereka, tidak hairanlah ramai yang tidak mahu mula berfikir tentang perkara ini.

Mula dengan mendapatkan bantuan rakan, penasihat pendidikan atau penasihat kewangan yang bertauliah. Kemudian, dapatkan jumlah anggaran pendapatan anda, apakah minat mereka, apa laluan pendidikan yang terbaik dan bagaimana untuk membiayai minat mereka. Pendidikan adalah cara terbaik yang terbukti boleh mengubah hidup semua orang.

 

You May Also Like

 

Kongsi bersama kami apa yang anda rungsingkan mengenai masa depan anak-anak anda di seksyen komen di bawah!