Logam ini diceritakan di dalam Al-Quran, buku sejarah dan di skrin televisyen. Pernahkah anda tertanya-tanya; mengapa manusia menghabiskan masa dan tenaga untuk mendapatkan emas? Secara asasnya, ia hanyalah batu kuning yang dikorek dari dalam tanah. Ketahui mengapa emas bernilai dan sejarah ringkas emas. 

“Emas dikorek di Afrika atau negara lain. Kemudian, kita cairkan, korek lubang lain dan simpan dalam lubang dan kita bayar orang lain untuk jaga lubang ini. Emas tidak mempunyai fungsi. Sesiapa yang lihat dari Marikh tentu akan pening kepala memikirkan apa sebenarnya manusia sedang buat” – Warren Buffett

Kami telah berbincang mengenai emas melalui rencana tentang naik turun harga emas dan emas sebagai sebuah pelaburan. Namun, apa yang menarik mengenai emas adalah sifatnya yang unik. Tiada logam di dunia ini yang setanding dengan emas.

Sifat Emas Yang Tersendiri

Emas mempunyai sifatnya yang tersendiri lain berbanding logam lain seperti platinum, perak, plumbum dan tembaga. Sejak dahulu, ia mempunyai sifat “penarik” yang membuatkan manusia teruja untuk memilikinya. Ia bersifat praktikal dan juga menarik dari segi estetik. Sehinggakan Firaun Mesir yang terkenal iaitu King Tutankhamen dijumpai dengan keranda yang diperbuat daripada emas. Ini membuktikan bahawa emas telah mendapat perhatian sejak dari dahulu lagi.

Antara sifat emas yang tersendiri adalah:

  • Mengalirkan elektrik
  • Tidak karat
  • Boleh dibentuk dan dipanjangkan
  • Boleh mempengaruhi bentuk logam yang lain apabila dicampur
  • Tidak reaktif dengan bahan organik
  • Boleh dipecahkan dan mempunyai molekul yang kecil
  • Berkilau

Kisah Mansa Musa, Emas dan Inflasi

Mansa Musa adalah seorang pemerintah Empayar Mali di Afrika Barat dari tahun 1280 hingga 1337. Ketika tempoh beliau memerintah, Mali merupakan pengeluar emas terbesar di dunia. Jadi, beliau juga adalah antara orang yang terkaya di dunia pada waktu itu.

Beliau merupakan seorang Muslim yang alim serta pemerintah yang sentiasa melakukan amal kebajikan. Pada tahun 1324, beliau mengambil keputusan untuk melakukan ibadah Haji ke Mekah. Jadi, beliau pun mengarahkan agar rombongan Haji membawa sejumlah emas.

Mengikut rekod, rombongan beliau mempunyai 60,000 orang termasuk 12,000 hamba yang setiap seorang membawa 1.8 kg jongkong emas. Juga termasuk dalam rombongan adalah perutusan yang dipakaikan kain sutera dan membawa tongkat emas serta rombongan berkuda. Mansa Musa membawa bersama beliau makanan dan minuman yang diperlukan untuk rombongan ini iaitu sebanyak 80 ekor unta yang setiapnya membawa 23 hingga 136 kg emas.

Beliau memberi emas kepada setiap kampung dan bandar yang berada dalam perjalanan termasuklah bandar Kaherah dan Madinah. Namun, langkah ini ternyata membawa lebih banyak keburukan kerana nilai barangan naik dengan mendadak disebabkan oleh bekalan emas yang tiba-tiba melonjak naik. Dalam perjalanan balik, beliau sedar bahawa langkah pemberian emas ini akan merosakkan ekonomi jadi beliau “meminjam” kembali emas yang diberi ini dengan menukarnya dengan sewa dalam bentuk mata wang. Walaupun begitu, ekonomi kawasan yang dilalui beliau terkesan dengan teruk dan membuatkan emas tidak bernilai untuk beberapa dekad selepas rombongan beliau ini.

Gold Standard dan Perubahan Kepada Fiat

Apa yang terjadi dalam kisah rombongan Haji Mansa Musa adalah salah satu kes di mana emas juga terdedah kepada inflasi. Sama seperti mata wang, jika bekalan melebihi permintaan, ia akan menyebabkan harga sesuatu komoditi jatuh. Emas pun tidak terkecuali daripada inflasi. Tetapi, inflasi bukan semuanya buruk. Jika tiada inflasi, harga barang akan kekal sama dan pelaburan tidak dapat bergerak seiring dengan ekonomi.

Gold standard adalah di mana nilai mata wang disandar pada jumlah emas. Ensiklopedia Ekonomi dan Kebebasan memberi definisi gold standard sebagai:

“Komitmen daripada negara terlibat untuk meletakkan nilai mata wang mereka kepada sejumlah emas yang telah ditetapkan. Mata wang kebangsaan dan mata wang lain (deposit bank atau nota bank) boleh ditukarkan kepada emas mengikut harga yang ditetapkan ini.”

Sebagai contoh; sesebuah negara boleh meletakkan harga tetap untuk emas sebagai $100 untuk sekilo emas. Jadi, anda boleh membeli dan menjual emas pada harga ini. Ini akan meletakkan nilai pada mata wang bersandarkan emas yang bermaksud $1 adalah harga untuk segram emas.

Gold standard secara formalnya ditamatkan oleh Presiden Richard Nixon pada 15 Ogos, 1971. Ini bermakna kerajaan boleh mengeluarkan sebanyak mana mata wang US Dollar mengikut kerajaan tanpa mengikut jumlah bekalan emas. Sejak daripada itu, tiada negara di dunia yang kembali menggunakan gold standard. Sistem yang tidak bersandarkan apa-apa ini dan bergantung sepenuhnya kepada bekalan dan permintaan dipanggil sistem mata wang fiat.

Oleh itu, kerajaan boleh menentukan sama ada untuk mendorong ekonomi kepada keadaaan inflasi atau deflasi mengikut kepada prinsip bank negara mereka sendiri.

Emas Sebagai Pelaburan

Jadi, memandangkan emas tidak diguna pakai lagi sebagai mata wang, kenapa ia bernilai? Emas bernilai disebabkan oleh manusia menganggap ia bernilai. Walaupun tidak lagi digunakan dengan kerap sebagai medium pertukaran untuk barangan, ia masih mempunyai sifat yang praktikal dalam elektronik serta mempunyai sifat estetik sebagai barang kemas kerana hampir 50% daripada emas yang dilombong setakat ini dijadikan barang kemas.

Dianggarkan juga bahawa sejak tamadun manusia bermula, terdapat 187,200 tan emas telah dikorek dari dalam tanah dan dijangka sumber lombongan emas akan makin berkurangan saban tahun. Dengan bekalan yang makin berkurangan, ia dianggap sebagai “pelindung nilai” yang bertentangan dengan sifat mata wang seperti Ringgit Malaysia atau US Dollar yang semakin hari semakin banyak dicetak.

Oleh itu, ia menarik perhatian pelabur disebabkan bekalannya yang semakin berkurangan dan secara langsung membuatkan nilainya makin meningkat. Dahulunya, anda perlu menyimpan jongkong emas di dalam peti dan mengupah orang untuk menjaga emas anda. Kini, terdapat banyak cara moden untuk memiliki sama ada secara fizikal atau secara pasif.

Antara cara untuk memiliki emas adalah:

Emas dalam bentuk Fizikal

Berbanding komoditi logam lain seperti palladium, platinum atau tembaga, emas lebih senang diakses untuk para pelabur. Anda boleh beli sahaja emas daripada bank atau peniaga berlesen seperti Habib atau Poh Kong. Terdapat tiga bentuk emas yang boleh dibeli iaitu barang kemas untuk dipakai, syiling atau bar. Terdapat pelbagai variasi campuran emas yang ditawarkan di pasaran seperti “emas 969”. Emas 969 bermakna campuran ini mempunyai 96.9% emas jadi harga akan dikira mengikut peratusan ini.

Pastikan anda simpan emas fizikal di tempat yang selamat dan lindung dengan insurans. Pelaburan dalam bentuk emas fizikal selalunya akan diwasiatkan atau diturunkan kepada anak-anak sebagai harta pusaka.

Dana Emas

Walaupun senang diperolehi secara fizikal, kos untuk memiliki emas secara fizikal boleh membebankan kita kelak. Kos seperti caj penghantaran, penyimpanan, insurans dan jualan boleh memamah untung daripada pelaburan emas. Untuk pelabur moden, pilihan untuk melabur dalam instrumen kewangan seperti dana emas ataupun exchange traded fund (ETF) lebih menarik. Instrumen ini akan mencerminkan harga naik dan turun komoditi mengikut harga pasaran.

Bagi pasaran Malaysia, contoh terbaik adalah TradePlus Shariah Gold Tracker ($GOLDETF) yang boleh dijual beli di Bursa Malaysia. Kelebihan ETF adalah ia lebih senang dijual beli sama seperti saham. Ia juga lebih murah dari segi kos keseluruhan berbanding emas fizikal. Wahed Invest juga menawarkan pilihan pelaburan emas melalui $GOLDETF bermula dengan serendah RM 100 dan secara langsung, menjadikan emas sebahagian daripada portfolio anda.

Guna kod promo Wahed Invest STEYON1 untuk dapatkan tambahan RM 10 bagi pelabur baru.

Kontrak Pembelian Emas (“Futures“)

Untuk pelabur yang lebih cenderung kepada pelaburan berisiko tinggi, anda boleh menggunakan kontrak pembelian emas. Instrumen ini lebih dikenali sebagai “options” untuk tujuan spekulasi harga emas di masa akan datang. Kontrak ini memberi anda pilihan untuk beli atau jual emas pada harga dan masa yang ditetapkan. Risiko anda adalah harga kontrak tersebut dan jika harga emas dalam kontrak lebih murah daripada harga pasaran, anda memperoleh keuntungan (jika perbezaan harga kontrak melebihi kos kontrak itu sendiri). Namun, jika harga emas dalam kontrak lebih mahal daripada harga pasaran, nilai kontrak yang anda beli itu adalah kosong.

Jadi, dengan pelaburan secara kontrak, risiko anda adalah jumlah harga kontrak tersebut. Ia boleh dijual beli melalui akaun futures dan perlu dipohon melalui broker anda. Cara ini lebih membawa risiko yang tinggi tetapi mampu memberi pulangan yang besar. Namun, ianya lebih berbentuk spekulasi dan bukannya pelaburan jangka masa panjang.

Saham Syarikat Emas

Jika anda lebih cenderung ke arah saham, anda boleh melabur terus ke dalam syarikat yang mempunyai aset atau pendedahan kepada harga emas. Sebagai contoh, Poh Kong Holdings Berhad ($POHKONG) dan Tomei Consolidated Berhad ($TOMEI) yang disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia adalah syarikat barang kemas yang mempunyai aset dalam bentuk emas. Jadi, mereka terdedah kepada naik dan turun harga emas di pasaran.

Keadaan ekonomi dan infrastruktur perlombongan emas di Malaysia lebih menarik perhatian syarikat luar negara. Ini bermaksud syarikat tempatan kurang terlibat dalam kegiatan perlombongan emas dan hanya beberapa syarikat di Bursa Malaysia mempunyai pendedahan dari segi perlombongan emas. Antaranya adalah Borneo Oil Berhad ($BORNOIL), Bahvest Resources Berhad ($BAHVEST) dan MUI Properties Berhad ($MUIPROP).

Pelaburan dalam saham mempunyai risikonya tersendiri di mana syarikat-syarikat ini boleh terdedah kepada unsur spekulasi mengikut sentimen pasaran. Jadi, harga saham mungkin tidak melambangkan keuntungan atau kerugian dengan jelas. Harga emas juga mungkin akan memberi kesan lebih besar ke atas naik dan turun saham syarikat ini. Oleh itu, lebih baik jika anda memberi fokus kepada analisa model perniagaan, output dan untung rugi syarikat ini secara individu berbanding hendak semata-mata kaitkan hubungan naik turun emas dengan naik turun saham syarikat emas.

Pelaburan pecahan (“Fractional Investing“) menggunakan App

Pelaburan pecahan adalah di mana anda boleh memiliki sebahagian daripada emas tanpa mengikut ukuran standard yang anda di pasaran seperti 1g, 2g dan lain-lain. Dengan pecahan ini, anda boleh memiliki emas daripada serendah RM 20.

HelloGold adalah aplikasi pertama di Malaysia yang menawarkan pemilikan emas menggunakan app. Secara ringkasnya, anda beli emas melalui app dan mereka akan menguruskan penyimpanan dan insurans bagi pihak anda. Anda akan dikenakan caj penyimpanan secara bulanan tetapi anda boleh pilih untuk hantar emas ini ke rumah anda dalam bentuk fizikal.

Kelebihan pelaburan pecahan ini adalah caj permulaan adalah lebih rendah berbanding cara pelaburan emas yang lain dan urusan jual beli emas lebih hampir dengan harga pasaran. Ianya juga lebih selamat. Namun, anda akan dikenakan kos penyimpanan dan insurans secara bulanan yang akan ditolak daripada nilai baki emas yang anda miliki.

Dapatkan rebat RM 5 dengan pelaburan emas sebanyak RM 50 di aplikasi HelloGold.

Rumusan

Emas telah mendapat tempat dalam tamadun manusia sejak dari awal lagi dan masih akan menarik minat manusia disebabkan oleh sifatnya yang unik. Namun, logam ini tidak lut daripada inflasi dan sepatutnya dilihat sebagai instrumen kewangan yang mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Kini, terdapat pelbagai cara untuk memiliki emas daripada cara tradisional sehinggalah dengan menggunakan app. Emas semakin praktikal di zaman moden disebabkan oleh fungsinya dalam elektronik yang juga selari dengan budaya konsumerisme yang mendorong kita membeli emas sebagai perhiasan, barang kemas dan lambang status kekayaan. Jadi, untuk menjawab soalan, “Kenapa emas bernilai?”, jawapannya lebih merujuk kepada sifat manusia sendiri berbanding sifat emas.

 

Adakah emas menarik minat anda berdasarkan penampilannya yang unik atau sebagai pelaburan jangka masa panjang? Kongsi bersama kami pendapat anda dan komen di bawah.

 

You May Also Like