Menjana wang bukanlah satu perkara yang mudah namun ia tetap menjadi topik yang popular dalam masyarakat. Ketahui langkah-langkah yang anda boleh lakukan untuk menjana wang secara bijak 

Jika berbicara tentang wang, jawapan yang sering kita semua dengar adalah mahu menambah wang yang sedia ada kepada satu jumlah yang mampu memberikan keselesaan dan kemudahan untuk diri dan keluarga tersayang.

Ya, anda boleh berbincang dengan majikan untuk meningkatkan gaji anda tetapi bukan itu sahaja pilihan yang ada. Dengan jumlah pendapatan  yang lebih banyak, bermakna anda perlu bertanggungjawab untuk menguruskannya dengan bijak dan tidak tamak untuk membelanjakan kesemuanya.

Jika anda mahukan kewangan lebih stabil dan wang anda dapat dijana dengan lebih baik, baca 4 langkah mudah untuk menjana wang dengan cara yang bijak dan selamat (bukan dengan skim cepat kaya!)

1.Kenal pasti perbelanjaan, simpanan dan pelaburan anda

Jika anda mahukan kewangan anda lebih terkawal, anda perlu bermula dengan dua perkara yang penting: bina bajet dan kenalpasti ke mana wang anda dibelanjakan.

Membina bajet memerlukan pelan yang membolehkan anda membelanjakan wang setiap bulan (termasuk simpanan) untuk keperluan. Kemudian, anda perlu memastikan perbelanjaan anda sepadan dengan bajet yang telah dirangka.

Mencatatkan ke mana duit anda pergi adalah sangat penting dan ada kalanya tidak dilakukan kerana mungkin menyusahkan dan memerlukan ketelitian yang tinggi. Tidak mencukupi jika anda hanya membuat rancangan bagaimana untuk menggunakan wang tetapi tiada sistem yang boleh mengesan samada ia berkesan atau tidak?

Penjanaan wang yang bijak memerlukan anda menjadi lebih serius tentang perbelanjaan, simpannan dan pelaburan.

Ia mungkin kelihatan seperti kerja yang banyak tetapi terdapat beberapa aplikasi dan perisian yang membolehkan anda melakukannya dengan lebih mudah. Terdapat juga aplikasi yang membolehkan anda mengenalpasti setiap duit yang keluar dan masuk daripada akaun bank anda. Antaranya ialah MAE (Google Play Store, Apple Store) daripada Maybank yang menyediakan rumusan perbelanjaan anda setiap bulan dengan setiap pembayaran yang dibuat menggunakan kad debit. Anda juga boleh membuat sasaran tabung simpanan dan pelaburan melaluinya. Ia mungkin kelihatan seperti kerja yang rumit dan leceh, tetapi sangat berguna. Jika anda kurang selesa menggunakan aplikasi di telefon bimbit, anda masih boleh menggunakan kaedah lain seperti lembaran excel di komputer atau menggunakan pen dan kertas.

Tidak kira samada anda menggunakan cara baru atau lama, setiap perbelanjaan dan aktiviti kewangan yang dicatat boleh memberikan gambaran kedudukan kewangan terkini.

Jika tiada sebarang catatan rekod dibuat, sukar untuk anda mengenal pasti ke mana wang anda pergi. Sasaran juga sukar untuk dicapai untuk menjana wang secara bijak.

2. Bayar diri anda dahulu

Anda mungkin sudah selalu mendengar nasihat ini, tetapi jika anda mahu menjana wang dengan baik, anda perlu menyimpan sebahagian daripadanya. Tetapi ia bukan semudah yang disangka!

Tetapi, berita baiknya adalah anda tidak perlu menjadi terlalu tertekan untuk memastikan simpanan ada setiap bulan. Perkara yang paling penting adalah bagaimana anda melihat mekanisma simpanan itu sendiri. Jika anda hanya menyimpan selepas  bil dan komitmen lain dibayar, kemungkinan besar wang yang disimpan akan kurang daripada yang diharapkan.

Bagaimana anda mahu memastikan bahawa adanya simpanan setiap bulan? Buat simpanan anda seperti komitmen yang perlu dibayar. Seperti bil yang perlu diselesaikan setiap bulan bagi memastikan anda boleh menikmati kemudahan yang baik.

Antara cara-caranya adalah:

  • Buat bajet termasuk dengan jumlah simpanan yang diinginkan
  • Masukkan wang ke tabung simpanan secara automatik  (pindah duit ke akaun berasingan)
  • Jangan lupa semak pelan anda dari masa ke masa untuk memastikan ia masih boleh dibuat dan jika mampu, tingkatkan jumlah simpanan bulanan tersebut.

Dengan cara membuat bayaran secara automatik untuk simpanan dapat memastikan anda membayar diri anda terlebih dahulu. Simpanan tidak akan terpinggir jika ia adalah sebahagian daripada bajet sedia ada. Anda juga tidak berasa kehilangan sebahagian wang anda jika ia hanya berada sebentar sahaja di dalam akaun sebelum dipindahkan ke tempat lain. Elakkan untuk membuka aplikasi perbankan online bagi akaun simpanan selamat daripada pengaruh yang tidak perlu kecuali kecemasan.

3. Cari pendapatan tambahan

Jika anda mahu menambah simpanan sedia ada, anda boleh memilih samada untuk berbelanja kurang atau memperoleh pendapatan tambahan. Langkah-langkah seperti membuat bajet, mengenal pasti perbelanjaan dan membayar diri sendiri adalah cara yang boleh dilakukan untuk berbelanja dengan baik. Tetapi apa yang boleh dilakukan jika anda mahu memperoleh wang yang lebih?

Anda boleh mencuba mencari pendapatan tambahan di luar pekerjaan utama anda. Salah satunya adalah membuat sebarang kerja separuh masa samada di rumah sahaja seperti menjual makanan, kraf tangan dan sebagainya atau sebarang kerja yang memerlukan talian internet dan boleh dilakukan dengan computer sahaja. Antara kerja separuh masa yang boleh dilakukan adalah menulis, suntingan artikel, khidmat pelanggan, reka bentuk laman web dan reka bentuk.

Jika bajet anda berdasarkan pendapatan utama, anda boleh menggunakan pendapatan daripada kerja separuh masa ini untuk simpanan anda. Jika ada lebihan, boleh digunakan untuk perbelanjaan yang diingini.

4. Laburkan duit anda dengan bijak

Pelaburan yang bijak adalah dengan menggunakan kaedah peruntukan aset (asset allocation) bagi memastikan portfolio anda seimbang dan tidak hanya tertumpu kepada satu aset sahaja. Ia akan mengurangkan risiko kerugian yang besar jika aset yang dilaburkan mengalami penurunan yang drastik.

Melalui pelaburan, anda mampu menjana wang dalam jangka masa yang lebih lama tetapi stabil dan memberikan anda pendapatan tambahan selain daripada gaji yang anda terima setelah bekerja.

Jika anda tidak pasti di mana dan bagaimana untuk mula melabur, anda boleh merujuk perancang kewangan berlesen yang boleh memberikan nasihat kewangan secara holistik tanpa bias.

Kesimpulan

Menjana wang memerlukan disiplin yang tinggi, tetapi jika anda mampu melaksanakan keempat-empat langkah ini, ia adalah lebih mudah daripada yang disangka.

Ia mungkin mengambil masa yang lebih lama, tetapi apabila anda sudah bermula, ia akan menjadi lebih mudah dan diri masa depan anda akan berterima kasih kerana membuat persediaan yang lebih awal untuk menghadapi segala kemungkinan, terutamanya pada waktu yang tidak menentu kini.

Apakah langkah yang paling sesuai untuk anda menjana wang dengan bijak?

You May Also Like