Tahniah! anda baru sahaja berjaya diterima bekerja setelah bergraduasi. Apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk merangka bajet semasa memulakan alam pekerjaan?
Belajar untuk merangka bajet kewangan bukanlah mudah – tetapi ia adalah sangat penting jika anda mahu menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan. Di universiti atau institusi pengajian, bajet yang anda buat lebih berkisarkan membayar yuran pengajian, makanan, pengangkutan dan peralatan belajar namun setelah anda berada di alam pekerjaan, lebih banyak tanggungan perlu diselesaikan. Jika bajet anda disusun dengan rapi, anda akan kurang berasa tertekan.
Sementara anda bersedia untuk pekerjaan pertama tersebut, boleh ikuti langkah-langkah tersebut untuk membantu merangka bajet kewangan anda.
Contents
#1. Fahami Faedah yang Diperoleh Daripada Syarikat Anda
Dengan setiap pekerjaan, akan ada faedah yang diberikan oleh majikan! Ia akan diterangkan di dalam kontrak lantikan jawatan tetapi jika anda masih memerlukan pemahaman yang mendalam tentang faedah-faedah yang ditawarkan, hubungi pengurus sumber manusia syarikat anda untuk penerangan yang lebih lanjut.
Memahami setiap faedah yang anda peroleh membolehkan anda tahu berapa banyak kos yang akan ditanggung oleh syarikat (contohnya, kos perubatan, peralatan bekerja dari rumah dan elaun kerja lebih masa) bagi memudahkan proses merangka bajet untuk diri sendiri.
#2. Kira dan Kenalpasti ke Mana Duit Anda Pergi
Kesalahan yang sering dilakukan oleh mereka yang baru mula bekerja adalah tidak membuat catatan perbelanjaan. Ya, mengenepikan wang gaji untuk membayar bil dan komitmen adalah bagus – tetapi jika anda mula membuat pengiraan bagi mengesan ke mana wang anda pergi setiap bulan, ia akan memudahkan pengurusan bajet.
Samada anda mahu menggunakan aplikasi telefon bimbit atau membuat senarai dalam dokumen excel, perkara yang penting adalah mengetahui perbelanjaan harian (dan bulanan) dan membandingkannya dengan gaji anda. Belum terlambat untuk bermula dari sekarang!
Mulakan dengan menulis jumlah gaji anda. Jika anda ada pendapatan tambahan daripada kerja separuh masa seperti penulis sambilan atau pereka grafik, ia juga boleh ditambah dalam bajet. Kemudian, senaraikan pula perbelanjaan bulanan seperti sewa, bil, belanja barangan dapur, pinjaman bank dan lain. Anda juga boleh menambah perbelanjaan tambahan yang lain seperti keluar makan malam di luar, menonton wayang dan aktiviti beriadah di luar pada hujung minggu.
Kemudian tolak jumlah perbelanjaan dari wang gaji anda. Samada anda akan mendapat jumlah yang positif atau negatif atau sama. Jika nombor tersebut bukan positif, anda perlu melihat kembali bajet untuk mengurangkan perbelanjaan bulanan ataupun mencari cara lain untuk menambah pendapatan.
#3. Kurangkan belanja bulanan
Semasa anda mula menyesuaikan diri kepada dunia baru, terdapat pelbagai perbelanjaan yang perlu diambil kira seperti bayaran kereta (jika perlu), hutang pinjaman pendidikan, insuran kesihatan, bil utiliti atau bil internet dan telefon. Tetapi antara kos terbesar yang perlu ditanggung jika anda tidak menetap bersama keluarga adalah kos menyewa tempat tinggal.
Bergantung kepada pendapatan semasa, anda mungkin mahu menyewa sebuah rumah yang bermaksud bayaran sewa yang lebih tinggi. Namun, jika anda mahu bermula dengan jumlah yang lebih kecil, anda boleh mencari bilik untuk disewa berbanding sebuah unit. Jika anda sedia untuk tinggal bersama teman sebilik yang boleh berkongsi bayaran sewa adalah lebih baik dan mampu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan. Namun, jika anda lebih selesa, tidak salah untuk mencari bilik untuk duduk seorang, namun pastikan anda mampu untuk membayarnya bersama komitmen lain.
#4. Pilih perkhidmatan langganan yang baik
Apabila anda dikelilingi oleh internet melalui telefon bimbit dan gajet, anda tidak terlepas untuk melanggan perkhidmatan langganan seperti Spotify, Netflix, Disney+ dan sebagainya. Jika tidak diteliti dan dikawal, bayaran untuk perkhidmatan ini boleh memakan kos yang tinggi dalam belanja bulanan. Jika anda kurang menonton, boleh hadkan langganan kepada satu sahaja berbanding melanggan beberapa perkhidmatan tetapi tidak dimanfaatkan.
#5. Berhati-hati dengan belanja tidak terkawal
Jika melibatkan bajet bulanan, anda juga perlu mengambil kira belanja untuk kehendak seperti melancong, berbelanja, menonton wayang dan sebagainya. Jika anda tidak menetapkan terlebih dahulu berapa banyak yang anda mampu belanjakan, bajet anda tidak akan berkesan. Ya, tidak dinafikan setelah menerima gaji pertama dan ada lebihan wang untuk perbelanjaan lain, kita mungkin akan terdorong untuk berbelanja perkara lain secara berlebihan, tetapi jika anda mengambil langkah awal sebelum membuat sebarang pembayaran yang besar, anda boleh mengelakkan tabiat yang buruk dalam bajet.
#6. Buat tabung simpanan kecemasan
Antara nasihat kewangan yang sering diberikan kepada kita adalah mengenepikan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji untuk akaun simpanan. Memulakan tabiat ini dengan lebih awal adalah latihan yang baik untuk masa depan kerana anda tidak boleh menjangka perkara yang akan berlaku – dengan adanya simpanan yang mencukupi, anda akan kurang tertekan dan lebih bersedia jika menghadapi sebarang kekangan kewangan.
Kesimpulan
Memulakan pekerjaan baru terutamanya selepas habis pengajian adalah perkara yang mungkin agak sukar pada mulanya untuk membiasakan diri dengan persekitaran berbeza. Namun, jika anda bijak dalam menguruskan kehidupan dan juga kewangan, anda akan melihat masa depan yang lebih baik dan mengurangkan kerisauan berkaitan kewangan.
Apakah langkah yang paling penting untuk menguruskan kewangan setelah memperoleh wang gaji pertama?
Leave A Comment