Perancangan kewangan yang tidak berjaya mampu membelenggu hidup jika tiada sebarang langkah diambil untuk mengelakkannya. Ketahui faktor yang menyebabkan perancangan kewangan seseorang tidak berjaya
Perancangan kewangan yang berkesan memerlukan kefahaman dan kesediaan yang tinggi untuk mengubah kewangan berdasarkan keperluan diri. Tetapi, sebagai manusia yang serba kekurangan, perkara ini menjadi salah satu cabaran yang besar untuk kita menguruskannya sendiri. Oleh sebab itu, sejak akhir-akhir ini, banyak berita dan cerita tentang nasib segelintir individu yang tertipu dengan pelan pelaburan atau kewangan yang menjanjikan bulan dan bintang dengan hanya melaburkan sejumlah wang sehingga mampu menjana pulangan yang tinggi, tetapi akhirnya tiada sebarang hasil dan wang hangus begitu sahaja.
Daripada sudut ilmu dan maklumat berkaitan perancangan dan pengurusan kewangan, berlaku lambakan maklumat tetapi kenapa masih ramai yang gagal dalam menjayakan perancangan kewangan mereka? Ini adalah persoalan penting yang perlu dirungkai. Sebelum mendapatkan khidmat saya sebagai perancang kewangan, klien-klien saya terlebih dahulu membaca pelbagai buku bertemakan kewangan sehingga memenuhi ruangan perpustakaan peribadi mereka. Malah, ada juga yang telah membelanjakan hampir ribuan ringgit, menghadiri kelas dan seminar perancangan serta pengurusan kewangan tetapi hasilnya masih sama. Maksud perancangan kewangan tidak berjaya dalam artikel ini merujuk kepada seseorang yang telah merancang kewangannya ke arah lebih baik, tetapi dia tidak berjaya merealisasikannya dan dia tidak tahu bagaimana mahu mencipta perubahan untuk kewangannya.
Justeru, penulisan ini akan mendedahkan kepada pembaca 3 faktor mengapa perancangan dan pengurusan kewangan anda masih belum berjaya. 3 faktor yang saya perolehi ini adalah daripada pengalaman saya sendiri sebagai perancang kewangan dan juga perkongsian rakan-rakan saya dalam industri perancangan kewangan.
Contents
#1. Saya adalah Mangsa
Ini antara sebab utama kenapa tidak berjaya. Apa yang dimaksudkan dengan “saya adalah mangsa”? Frasa ini mengambarkan monolog seseorang dalam mindanya. Penetapan minda bahawa dia adalah “mangsa” merupakan satu masalah yang memberi kesan kepada cara seseorang itu bertindak. Dia menyangka bahawa dia mangsa kepada keadaan. Dia tidak dapat peluang seperti orang lain. Dia sibuk tetapi orang lain tidak sibuk seperti dirinya. Keadaan ekonomi tidak menyebelahi dirinya. Bos tidak mahu menaikkan gaji. Perlu menanggung pasangan yang berbelanja dengan boros. Pelbagai kelemahan menjadi alasan bahawa dirinya ialah mangsa keadaan dan tidak mahu berubah.
Minda mangsa ini adalah penyebab utama perancangan kewangan yang tidak berjaya. Minda sebegini menatijahkan sebuah tindakan yang acuh tak acuh. Sentiasa merungut. Sentiasa menyalahkan orang lain. Orang lain yang salah dan penyebab kenapa matlamat diri sendiri tidak dapat dicapai. Sikap minda mangsa ini menyebabkan dia tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap masalah atau cabaran yang timbul serta tidak mahu mahu meletakkan beban tanggungjawab ke atas diri sendiri.
Selagi seseorang tidak mengubah minda sebegini dan tidak mahu mempunyai minda seorang juara, selagi itu dirinya tidak akan berjaya. Sebarang perancangan atau perencanaan tidak mempunyai sasaran melainkan nasib dan takdir. Mungkin kes dia adalah satu dalam sejuta. Untuk memastikan perancangan dan pengurusan kewangan kita berjaya, tanggalkan minda mangsa dan pakailah minda juara.
#2. Terlepas Pandang Titik Buta Kewangan
Selalunya titik buta ini diaplikasikan semasa memandu kerana ada beberapa tempat yang menjadi titik buta dan perlu diberikan perhatian semasa memandu. Sekiranya tiada langkah tambahan dan perhatian diambil, kita mungkin terdedah dengan risiko kemalangan jalan raya. Perancangan dan pengurusan kewangan juga mempunyai titik buta. Titik buta ini antara penyebab perancangan dan pengurusan kewangan seseorang tidak berjaya. Malah titik buta ini juga boleh membuatkan individu tersalah langkah dalam keputusannya. Salah langkah dan percaturan boleh menyebabkan dirinya kerugian ribuan malah jutaan ringgit yang sepatutnya menjadi potensi untuk mengembangkan kekayaannya.
Contohnya, ada klien saya pernah berkongsi cara perancangan kewangan yang dibuat olehnya. Perancangan kewangan dibuat secara “DIY” (Do it Yourself/ Dibuat individu dengan Yakin). Beliau menunjukkan cara mengira perancangan persaraan beliau. Tetapi beliau tidak perasan titik buta dalam pengiraannya iaitu perlu mengambil kira kadar inflasi. Sedangkan inflasi adalah elemen penting dalam perkiraan, misalnya jumlah RM6,000 untuk perbelanjaan sekarang tidak sama nilainya dengan RM6,000 pada 10 ke 15 tahun akan datang. Ini adalah contoh titik buta kebiasaan yang ramai terlepas pendant seringa mengakibatkan perancangan kewangan seseorang tidak berjaya dalam tempoh jangka panjang.
Kes kedua pula melibatkan seorang individu yang mempunyai pinjaman peribadi denganahli keluarga dan rakan-rakannya. Bagi menutup lubang hutangnya dengan mereka, dia membuat pinjaman peribadi dengan bank atau badan pinjaman wang berlesen. Dia sebenarnya terlepas pandang titik buta, pinjaman dengan ahli keluarga dan kawan-kawan tiada faedah sedangkan dengan bank atau pinjaman berlesen dikenakan faedah.
Tindakan ini sebenarnya menyebabkan dia bukan sahaja menimbus hutang sebaliknya membuat lubang yang lebih besar daripada sebelumnya. Terlepas pandang titik buta ini menyebabkan perancangan kewangan seseorang tidak berjaya seperti yang sepatutnya. Hasil yang diperolehi berbeza daripada hasil yang dijangkakan.
#3. Tertipu dengan Emosi
Antara faktor lain perancangan kewangan tidak berjaya disebabkan keputusan yang dibuat dengan emosi. Tidak dinafikan emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Kita membuat keputusan banyak berdasarkan emosi. Antaranya emosi berasa seronok untuk memiliki. Emosi berasa takut ditipu. Kebanyakkan individu yang tersalah langkah dalam percaturan pengurusan kewangan adalah kerana emosi mereka tidak dipimpin oleh fakta dan gambaran kewangan yang sebenar.
Emosi tidak dibentuk daripada fakta sebenar sebaliknya ia didorong daripada jurujual yang petah berbicara yang pandai mengumpan perasaan. Akibatnya, seseorang boleh membuat keputusan berdasarkan emosi semata-mata tanpa melihat gambaran yang menyeluruh akibat daripada tindakan yang diambil.
Contoh kes seorang klien, jika mengikut perancangan kewangan yang telah ditetapkan, dirinya perlu mengumpul dana kecemasan yang menyamai jumlah sebanyak 6 bulan perbelanjaan. Semasa dana tersebut mencecah bulan keempat, hadir seorang jurujual dari pelaburan XYZ. Menurutnya, tidak perlu tunggu sehingga cukup 6 bulan perbelanjaan, itu adalah cara old school dan lapuk kerana dirinya baru sahaja melabur bermodalkan simpanan 1 bulan perbelanjaan. Selepas 2 bulan, pelaburan sudah berkembang menjadi 8 kali ganda daripada modalnya.
Mulalah emosi membuak-buak. Terliur pula perasaan. Hati kecil bersuara,
“Rugi kalau aku tak ikut cara mamat ni. Dia buat menjadi. Takkan aku buat tak menjadi. Nak tunggu cukup 6 bulan perbelanjaan, lama sungguh rasanya. Jalan ini lagi cepat. Cara jurujual ini cerita pula sangat meyakinkan”. Lalu kecundang dengan emosi tanpa memahami produk pelaburan yang ditawarkan.
Dana kecemasan yang disimpan di tempat berisiko rendah, terus dikeluarkan untuk dilaburkan ke pelaburan XYZ. Selepas beberapa minggu melabur, ditakdirkan pula kereta meragam dan perlu dihantar ke bengkel. Dana kecemasan sudah habis dilaburkan, hubungi jurujual, katanya pelaburan tersebut sedang rugi sebanyak 30%. Mula mengetap gigi dengan rasa geram.
Mujur rugi hanya 30%, kalau hangus sudah tentu menangis tidak berlagu. Bak kata pepatah, baru terhantuk, sudah terngadah. Natijahnya, dirinya terpaksa mengumpul dana kecemasan dari awal semula. Kerana emosi, dana kecemasan hilang sebanyak 30%. Matlamat kewangan lain juga perlu ditangguhkan. Justeru, pastikan setiap keputusan dan perancangan kewangan yang dibuat bukan berdasarkan emosi semata-mata tanpa melibatkan fakta yang dapat memimpin akal.
Kesimpulan
Mengambil pengajaran daripada kegagalan adalah salah satu aspek penting yang akan dialami oleh semua. Dalam konteks artikel ini, aspek perancangan kewangan yang baik amat penting untuk belajar supaya tidak terjerumus dalam kesilapan yang sama. Artikel ini hanya fokus kepada 3 faktor utama mengapa perancangan kewangan seseorang tidak berjaya kerana menpunyai minda mangsa (victim mindset) yang telah sebati dengan jiwa, terlepas pandang titik buta dan yang terakhir adalah kerana mudah tertipu dengan emosi. Banyak lagi faktor lain yang menyebabkan perancangan kewangan tidak berjaya tetapi cukup tiga faktor sahaja untuk kali ini sebagai pembuka lebaran tahun 2024. Bagi mengelakkan anda terjerumus dalam kesilapan kewangan, anda boleh mendapatkan khidmat perancang kewangan berlesen. Semoga anda berjaya dalam perancangan kewangan anda!
Apakah antara faktor lain yang boleh menyebabkan kesilapan kewangan?
Leave A Comment